SOP Sabah Perlu Segera Diselaras, Lawan Pandemik Dengan Semangat Kerjasama – SSK

SSK-3.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak sekali lagi meminta prosedur operasi standard (SOP) baharu di Sabah, dengan menegaskan kejayaan mengatasi wabak Covid-19 bergantung kepada semangat “federalisme” dan kerjasama baik di antara Putrajaya dengan kerajaan negeri.

Salleh berkata, perintah kawalan pergerakan (PKP) dan SOP adalah undang-undang Persekutuan, tetapi ianya satu bidang kuasa bersama dengan kerajaan negeri Sabah.

“Kita boleh rujuk kepada Senarai III, Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Ini sebabnya Sabah juga masih mempunyai undang-undang tersendiri untuk mengawal pencegahan penyakit: Ordinan Kesihatan Awam 1960 (Public Health Ordinance),” katanya di Facebook.

Justeru, beliau menggesa kerajaan persekutuan untuk segera melaksanakan penyelarasan baik mengenai SOP di Sabah dalam usaha mengatasi pandemik Covid-19.

“Harapan kita adalah penyelarasan baik isu SOP Sabah ini dengan segera kerana matlamat kita tetap sama.”

Terdahulu, Salleh meluahkan rasa kecewa dengan tindakan kerajaan pusat yang masih membisu mengenai SOP di Sabah selepas kerajaan negeri mengumumkan untuk melonggarkannya bermula 29 Jun lalu.

Salleh berkata sikap “berdiam diri” kerajaan pusat menyebabkan kekeliruan dan keresahan yang tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan rakyat di negeri berkenaan.

Sebelum ini Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dilaporkan berkata, negeri itu masih menunggu kelulusan Putrajaya berhubung kebenaran aktiviti sosial dan ekonomi seperti diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Pada 30 Jun, Salleh meminta Putrajaya menghormati keputusan dan memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri dalam melonggarkan SOP berdasarkan keadaan semasa.

Katanya, beliau menyokong penuh tindakan kerajaan Sabah melonggarkan SOP memandangkan negara kini dalam Fasa I Pelan Pemulihan Negara (PPN), bukannya perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kenyataan itu menyusul selepas Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Sabah tidak patut melonggarkan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, semua negeri sepatutnya melaksanakan satu standard SOP sahaja, namun sekiranya ada negeri yang ingin menambah baik dengan memperketatkan suatu perkara, ia dibenarkan. -FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top