SOP Krismas: Tiada Aktiviti ‘Carolling’ Dan Rumah Terbuka

christmas.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Penganjuran rumah terbuka melibatkan orang ramai dan aktiviti nyanyian karol (caroling)  dari rumah ke rumah sempena perayaan Krismas di semua kawasan adalah  tidak dibenarkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri  Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata peraturan itu merupakan sebahagian daripada Prosedur  Operasi Standard (SOP) bagi sambutan Krismas kali ini dan aktiviti  kunjung-mengunjung pula hanya dibenarkan pada hari pertama sambutan (25  Dis) di kawasan yang yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  Pemulihan dan PKP Bersyarat.

“Penganut Kristian hanya dibenarkan melakukan upacara sembahyang pada  24 dan 25 Dis di kawasan-kawasan yang dilaksanakan PKPP dan PKPB,”  katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata sambutan hari pertama perayaan Krismas di rumah kediaman landed adalah dibenarkan dengan kehadiran tidak lebih 20 orang yang terdiri dalam kalangan keluarga terdekat.

Ismail Sabri berkata, bagi rumah kediaman strata dengan keluasan  kurang 1,500 kaki persegi pula, jumlah tetamu dalam satu-satu masa tidak  dibenarkan melebihi 10 orang, manakala maksimum 15 orang bagi kediaman  dengan keluasan 2,500 kaki persegi ke atas.

Mengulas lanjut mengenai SOP di rumah ibadat sempena perayaan itu,  Ismail Sabri berkata kaunter saringan kesihatan pengunjung di pintu  masuk perlu diadakan bertujuan mengehadkan bilangan kehadiran  pengunjung, selain wajib memeriksa suhu badan dan saringan gejala.

Katanya pada 24 Dis, upacara sembahyang perlu diadakan  bermula 5 petang sehingga 9.30 malam dengan pembahagian dua sesi dengan  setiap sesi selama satu jam 30 minit dan diselangi dengan operasi  sanitasi selama 45 minit, sebelum memulakan sesi baharu.

“Pada 25 Dis pula, upacara sembahyang perlu diadakan bermula 7 pagi  sehingga 1.45 tengah hari dengan pembahagian sebanyak tiga sesi sahaja  (satu jam 30 minit setiap sesi) dan diselangi dengan operasi sanitasi  selama 45 minit sebelum memulakan sesi baharu,” katanya.

Beliau berkata upacara sembahyang di minor basilica, cathedral,  gereja dan chapel hendaklah mematuhi sepenuhnya SOP Pembukaan Rumah  Ibadat yang telah ditetapkan dan tertakluk kepada keluasan  ruang rumah ibadat tersebut dengan pematuhan penjarakan fizikal.

Bagi kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan  Diperketatkan (PKPD) beliau berkata upacara sembahyang dan aktiviti  ziarah adalah tidak dibenarkan, manakala sambutan perayaan dibenarkan  bagi seisi keluarga dalam rumah yang sama sahaja.

– Bernama

 

 

 

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top