SOP: Kerajaan Sabah Perlu Nyatakan Pendirian, Kata Warisan

junz-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Warisan telah mengulangi gesaan supaya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan pendirian berhubung kekeliruan SOP baru-baru ini.

Ini susulan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri pada hari Sabtu yang menyatakan bahawa lima negeri kini di bawah Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara.

Sabah bagaimanapun, tidak terlibat. Ia memberi bayangan bahawa Kerajaan Persekutuan enggan melonggarkan SOP di Sabah.

Melalui kenyataan media, Datuk Junz Wong yang merupakan Naib Presiden Warisan berkata, Warisan telah secara terbuka menyatakan sokongan terhadap usaha-usaha menuntut hak-hak autonomi Sabah, demi manfaat rakyat Sabah.

Tapi jelasnya, keputusan akhir terletak dalam tangan pentadbiran negeri.

“Pendirian Warisan berkenaan hak-hak autonomi Sabah sangat jelas.”

“Warisan akan menyokong segala-gala usaha untuk menuntut hak-hak autonomi Sabah, tanpa mengira siapa kerajaan.”

“Sebab itu kami menyokong usaha-usaha GRS menuntut hak-hak Sabah membuat keputusan sendiri.”

“Secara jujurnya, Warisan juga berpendapat bahawa Ismail Sabri tidak patut menidakkan kedudukan Ketua Menteri Sabah, apatah lagi menghina hak-hak seorang Ketua Kerajaan.”

“Tapi sekarang, Kerajaan Persekutuan telah sekali lagi memberi bayangan bahawa SOP Sabah tidak akan dilonggarkan.”

“Jadi GRS mempunyai tanggungjawab sebagai Kerajaan untuk menyatakan pendirian.”

Junz yang juga merupakan bekas anggota Kabinet Sabah menambah, pentadbiran Sabah tidak patut lepas tangan dan mengekalkan Sabahans dalam keadaan keliru.

“Memandangkan Warisan bukan sebahagian daripada pentadbiran kerajaan, kami tidak mempunyai akses kepada maklumat-maklumat tertentu.”

“Kami boleh sokong, tetapi keputusan perlu dibuat oleh GRS.”

“GRS mempunyai akses kepada data-data Kementerian Kesihatan dan data-data lain seperti varian delta.”

“Maka nasihat saya adalah supaya GRS memikir betul-betul sebelum membuat suatu keputusan.”

“Ketika era Warisan, Kabinet pimpinan Datuk Seri Panglima Shafie Apdal telah menangani wabak Covid-19 secara terperinci.”

“Kami juga mempunyai Menteri Kesihatan yang khusus untuk membuat penelitian setiap hari.”

“Mungkin GRS ada cara lain bekerja. Saya tidak pasti.”

“Tapi apa pun cara GRS, pendirian yang tegas diperlukan agar rakyat tidak menjadi keliru.” – BORNEO TODAY


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top