KOTA KINABALU: Pengusaha-pengusaha restoran dan kedai makan di negeri ini kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang antara lain membenarkan pelanggan makan di premis (dine-in) bermula esok (11 November 2020).
Sebelum ini restoran dan kedai makan hanya dibenarkan menjual makanan secara berbungkus (take away) sahaja.
Jurucakap kerajaan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) PKPB Sabah itu juga turut meliputi langkah membenarkan waktu perniagaan yang lebih lama.
Ia juga membolehkan aktiviti keagamaan, majlis perkahwinan, aktiviti penggambaran dan aktiviti sukan individu dijalankan dengan syarat mematuhi SOP yang disemak semula itu.
Menurut beliau keputusan MKN menyemak semula SOP itu adalah berdasarkan saranan daripada Jawatankuasa Covid Negeri.
SOP itu berkuat kuasa esok dan MKN Sabah telah menyiarkan senarai penuh di saluran rasminya termasuk halaman Facebooknya.
Walau bagaimanapun, kelonggaran baharu tidak meliputi kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan yang diperketatkan (PKPD).
Perjalanan antara daerah juga masih dilarang.
Menurut senarai yang dikemas kini, semua perniagaan termasuk runcit, stesen minyak, pasar raya dan kedai makan sekarang dibenarkan untuk terus dibuka sehingga 10 malam setiap hari.
Restoran dan premis perniagaan makanan lain dibenarkan menerima pelanggan untuk ‘dine-in’ tetapi dengan had kapasiti 50 peratus.
Pasar harian dan pasar borong masih terhad pada jam 2 petang waktu operasi.
Aktiviti sukan dan rekreasi, di dalam dan di luar rumah, tanpa hubungan fizikal juga akan dibenarkan, dengan syarat tidak melibatkan lebih dari 10 orang. Aktiviti seperti berjalan kaki, berjoging, berbasikal, aerobik, mendaki, memancing dan bermain golf di dalam daerah juga dibolehkan.
Kemudahan dan pusat sukan akan dibenarkan beroperasi tetapi tidak melebihi 10 orang dalam satu masa.
Solat di masjid dan surau serta sembahyang di gereja dan kuil juga akan diperbolehkan dengan SOP, dan upacara perkahwinan orang Islam dan perkahwinan bukan Islam juga boleh dilakukan dengan had 20 orang.
Perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan perkhidmatan e-hailing juga dapat beroperasi, dengan had kapasiti 50 peratus, dengan had waktu hingga tengah malam untuk yang terakhir.
MKN menyatakan bahawa hanya dua orang serumah dibenarkan keluar dalam satu kenderaan bagi membeli barang runcit dan keperluan lain, sementara kanak-kanak dan individu berisiko tinggi tetap dinasihatkan untuk tinggal di rumah.
Kemasukan bukan pemastautin ke Sabah juga tidak dibenarkan kecuali bagi perkhidmatan penting dan pemegang pas yang diluluskan. Mereka yang dibenarkan masuk mesti lulus ujian saringan Covid-19 sekurang-kurangnya tiga hari sebelum masuk dan mereka yang berada di Sabah juga tidak dibenarkan keluar kecuali mereka yang mendapat persetujuan terlebih dahulu.
Sabah berada di bawah PKPB sejak 13 Oktober setelah kadar Covid-19 meningkat dengan mendadak berikutan pilihan raya negeri yang berakhir pada 26 September.
Negeri ini secara konsisten mendahului negeri-negeri lain dari segi kes baharu yang dikesan setiap hari dan mencapai tahap tertinggi iaitu 1,199 pada minggu lalu. Namun, empat hari terakhir ini. menyaksikan penurunan kes, dengan 397 kes hari ini, 370 kes semalam dan 524 pada hari Ahad.
Sehingga semalam, terdapat 2,992 kes aktif daripada jumlah keseluruhan 20,792.