Sokongan KDM Terhadap Warisan Papar Kekal Utuh

warisan-papar.jpg
Kongsi Bersama

PAPAR: Tindakan beberapa ahli Parti Warisan (Warisan) keluar meninggalkan parti tidak sedikit pun melemahkan kedudukan parti itu terutama sokongan masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut (KDM).

Malah, hari demi hari kedudukan parti semakin teguh dengan sokongan yang ditunjukkan ahli-ahli di peringkat akar umbi termasuk masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut (KDM).

Ketua Bahagian Warisan Papar, Ahmad Hassan berkata, setakat ini hanya 24 cawangan yang belum berdaftar keluar bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim.

Cawangan-cawangan lain masih kekal bersama Warisan di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Secara umumnya, tiada cawangan Warisan yang didaftarkan secara rasmi dibubarkan. Hanya ada beberapa ahli jawatankuasa yang keluar namun, itu tidak akan menjejaskan parti.

“Sebanyak 24 cawangan yang dikatakan keluar parti itu hanya cawangan yang belum berdaftar. Ini cara permainan mereka sahaja untuk mengelirukan rakyat di Parlimen ini.

“Mereka katakan banyak cawangan KDM yang keluar namun, hakikatnya masyarakat KDM tidak setuju dengan tindakan dilakukan oleh mereka (Juil). Tindakan mereka itu hanya bersifat peribadi bukan bersifat kepartian,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ahli Parlimen Papar ini berkata, Warisan terus komited memperjuangkan tuntutan hak-hak Sabah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Walaupun pindaan dilakukan terhadap Perkara 1(2) namun, perubahannya hanya dilihat pada kertas dan masih terdapat empat perkara yang masih perlu diperjuangkan.

“Kita akan menyuarakan perkara ini bagi meneruskan tuntutan daripada persekutuan,” jelasnya.

Ahmad berkata, kewujudan parti baharu berasaskan KDM hanya akan memecah-belahkan masyarakat KDM. Jika masyarakat KDM tidak bersatu maka, perubahan yang diidamkan tidak akan dapat dicapai. – Borneo Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top