KOTA KINABALU: Walaupun wujud persepsi Parti Warisan (Warisan) kehilangan sokongan Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) di pedalaman namun, kedudukan Warisan masih kukuh.
Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sokongan terhadapparti di kawasan pedalaman termasuk di Nabawan, Kota Marudu, Ranau dan Kota Belud masih lagi kukuh.
Katanya, apa yang menyedihkan, komuniti KDM akan terus berpecah. Jika sebelum ini, mereka berpecah kini, dengan kewujudan parti baharu akan mengakibatkan perpecahan itu berterusan.
“Atas sebab itu, saya mahu menyatukan semua parti (tempatan) yang ada di Sabah. Sejak hari pertama, saya saya mengajak Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Datuk Seri Jeffrey Kitingan daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk bekerjasama,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.
Beliau berkata, beliau sudah mempunyai pengalaman bekerjasama dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta melihat kegagalan yang berlaku. Itu sebabnya, mereka mengambil langkah ingin melebarkan sayap parti ke Semenanjung.
“Saya sudah melakukan pelbagai usaha bekerjasama dengan PH dan BN maka, kali ini kami memutuskan bekerjasama dengan parti lain,” katanya dalam sidang media itu.
Ahli Parlimen Semporna berkata, ketika ini, Warisan masih kekal sebagai parti tempatan terbesar dan bukannya UMNO atau PBS mahupun BERSATU.
Katanya, kali ini Warisan akan bekerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi memastikan anak muda turut terlibat dalam politik.
“Ini antara langkah kita melahirkan pemimpin muda dan inilah yang kita ingin lakukan. Atas sebab itu, penting bagi kita untuk bersatu.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh jadi seperti Sarawak kerana mereka tidak pernah membenarkan parti dari Semenanjung masuk ke sana. Mereka bersatu kerana parti tempatan yang memerintah.
“Jika kita mahu mengikut jejak Sarawak maka, jangan bekerjasama dengan BN, jangan bekerjasama dengan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU),” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berkata, Warisan akan terus bekerja keras dan usaha melebarkan sayap parti ke Semenanjung merupakan langkah yang baik.
Katanya, Warisan diterima dengan baik oleh orang Semenanjung seperti Pulau Pinang, Johor dan Selangor. Malah, parti juga sedang mendekati rakyat Sabah di Semenanjung.