Sokongan Ahli Parlimen Terhadap Belanjawan 2021 Bukti Kematangan Berfikir – Bung

bung-1.jpg

KOTA KINABALU: Keputusan majoriti Ahli Parlimen menyokong kelulusan Bajet 2021 di peringkat dasar bajet pertama dibentangkan di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencerminkan kematangan berfikir ahli parlimen dengan meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan politik.

Ahli Parlimen Kinabatangan Dato’Sri Bung Moktar Radin berkata dengan beberapa penambahbaikan sebagaimana yang dicadangkan oleh Barisan Nasional sebelum ini,membuktikan kerajaan cakna terhadap bebanan yang dihadapi oleh rakyat yang berhadapan dengan kemelut ekonomi ekoran penularan koronavirus Covid-19.

“Alhmadulillah majoriti ahli Parlimen telah meletakkan kepentingan rakyat dengan memberikan sokongan membolehkan  Bajet 2021 ini di peringkat dasar  diluluskan bagi membolehkan kerajaan menggunakan dana di bawah Kumpulan  Wang Disatukan untuk tujuan perbelanjaan negara bagi tahun depan,” katannya ketika dihubungi dan diminta mengulas keputusan kelulusan Bajet 2021 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Khamis.

RUU diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi.

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun pada jam 3.28 petang khamis.

Mengulas lanjut Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata beberapa aspek utama diberikan perhatian oleh kerajaan dalam Bajet 2021 ini iaitu bantuan yang menambah aliran tunai rakyat dan perniagaan, bantuan kewangan langsung dan mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kadar penggangguran.

Menurut beliau, Program I-Sinar yang dibuka untuk kesemua 8 juta pencarum KWSP dengan jumlah pengeluaran maksimum meningkat kepada RM10,000.00 membolehkan rakyat mempunyai wang untuk berbelanja dan menyara kehidupan keluarga .

Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan yang memperutukkan RM50 juta dana tambahan bagi memerangi Covid-19 di Sabah.

Katanya, Sabah adalah negeri yang amat terkesan dengan penularan koronavirus Covid-19 dan dengan adanya peruntukan tambahan itu, ia boleh dimanfaatkan untuk mempertingkatkan kemudahan kesihatan yang sedia ada bagi membendung penularan pandemik tersebut.

“Selain pemulihan ekonomi negara dan kelangsungan hidup, belanjawan 2021 amat penting bagi kerajaan dan pihak berkuasa khususna petugas barisan hadapan meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membeundung ancaman wabak Covid-19,” tambah Bung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top