Sokong Lebih Banyak Kerusi Parlimen Untuk Sabah, Sarawak

IMG-20220308-WA0011.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Lebih banyak kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak diperlukan bagi membantu rakyat dengan lebih baik di kedua-dua Wilayah Borneo ini.

Timbalan Presiden Star Sabah Datuk Robert Tawik berkata gesaan ahli parlimen dari dua Wilayah itu untuk menambah kerusi parlimen adalah bersesuaian berdasarkan keluasan kawasan dan jumlah penduduk yang ada.

Mengambil contoh kawasan pedalaman Sabah yang kini mempunyai tiga kawasan parlimen iaitu Keningau, Pensiangan dan Tenom, beliau berkata adalah wajar untuk menambah dua lagi kerusi Parlimen untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan sebesar itu.

“Kawasan parlimen baharu di pedalaman boleh diwujudkan di kawasan Trusmadi di Keningau dan kawasan Rundum di Tenom,” kata Robert yang juga merupakan ADUN Bingkor.

Menurutnya, DUN Tambunan (kini di bawah Keningau) dan Tulid (di bawah Pensiangan) boleh diletakkan di bawah kawasan parlimen baharu di kawasan Trusmadi.

Begitu juga DUN Melalap dan Kemabong boleh diperluaskan ke bahagian DUN Sook dan Nabawan untuk diletakkan di bawah kawasan parlimen baharu dalam kawasan Rundum.

Kata Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah itu lagi, Star menyokong penuh agar desakan berterusan di Parlimen oleh Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan lebih banyak kerusi parlimen.

Beliau berkata presiden STAR Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan juga telah menggesa agar Sabah dan Sarawak mendapatkan lebih banyak kerusi Parlimen daripada yang ada sekarang.

Sidang Parlimen pada Isnin (7 Mac), Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak menyuarakan gesaan untuk menambah sekurang-kurangnya 28 kerusi parlimen bagi kedua-dua wilayah diBorneo semasa membahaskan Titah Diraja.

Penambahan 28 kerusi parlimen akan menyediakan pembahagian 14 kerusi baharu masing-masing untuk Sabah dan juga Sarawak.

Antara lain, ahli parlimen berkata terdapat keperluan bagi kedua-dua Wilayah Borneo untuk membentuk satu pertiga daripada komposisi kerusi di Parlimen di samping keperluan untuk melindungi kedua-dua negeri itu sebagai rakan kongsi dalam persekutuan.

Sabah dan Sarawak kini mempunyai 56 daripada 222 kerusi Parlimen.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top