SME Bank Meterai MoU RM150 Juta Dengan SDB, Jalin Kerjasama Dengan MUIS

MoU-SME-dan-SDB.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) hari ini telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sabah Development Bank Berhad (SDB) yang merangkumi pelbagai pakej pembiayaan serta program pembangunan usahawan bernilai RM150.0 juta.

Pada majlis ini juga, SME Bank dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) turut bertukar dokumen Surat Niat (Letter of Intent) untuk program pembangunan usahawan Asnaf di negeri Sabah.

Antara inisiatif yang terkandung dalam MoU bersama SDB termasuk menyediakan Pakej Pembiayaan dengan Jaminan SDB dan kemudahan pembiayaan ‘club deal’ bagi projek berskala besar untuk usahawan PKS di negeri Sabah khususnya, perkongsian sumber dan kerjasama melaksanakan program pembangunan usahawan serta mempromosI kemudahan yang disediakan oleh kedua-dua pihak.

Antara sektor yang menjadi perhatian dalam kerjasama ini ialah perindustrian, pelancongan dan aktiviti pembuatan serta perdagangan sektor pertanian yang seiring dengan teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2021-2025.

Kerjasama ini juga merupakan salah satu usaha memulihkan kembali prestasi ekonomi negeri Sabah yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi di negeri Sabah di bawah Pelan Pemulihan Negara Fasa ke-2.

Presiden Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, “SME Bank telah lama bertapak di Sabah dan melalui 3 buah cawangannya (Pusat Wilayah Sabah, Pusat Enterprise Kota Kinabalu dan Pusat Enterprise Tawau) telah meluluskan lebih RM118 juta pembiayaan kepada 184 PKS pada tahun 2020 dan bagi tahun 2021 sehingga bulan Julai, pembiayaan bernilai RM88 juta telah diluluskan kepada 150 PKS.”

Tambah Aria, “Kerjasama pada hari ini merupakan satu inisiatif bagi membolehkan SME Bank dan SDB menawarkan pakej yang lengkap kepada usahawan-usahawan PKS di Sabah secara khususnya. Sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan yang memegang mandat memupuk dan membangunkan PKS negara, adalah penting untuk SME Bank meluaskan jaringan perkhidmatan agar tidak ada PKS yang ketinggalan dalam menerima bantuan.

Hajiji menyaksikan pertukaran dokumen antara Aria dan Ustaz Malai Ali Malai Hassan mewakili MUIS.

“Anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) akan turut sama menawarkan program pembangunan keusahawanan dan keupayaan yang bersesuaian bagi memperkasakan lagi usahawan PKS di bawah ekosistem SDB,” ujarnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SDB, Datuk Vincent Pung Yee Kiong pula berkata, “Kerjasama di antara SME Bank dan SDB datang tepat pada masanya bagi menyokong inisiatif-inisiatif kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dalam sektor PKS ini.

“Sektor PKS memainkan peranan penting dalam perkembangan sosio ekonomi negara, terutamanya dari segi sumbangan kepada KDNK dan penyediaan pekerjaan,” kata beliau.

Sehubungan itu, katanya lagi, SDB merakamkan ribuan terima kasih kepada SME Bank kerana memulakan inisiatif menerokai kerjasama itu dan berharap agar inisiatif pertama ini menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan.

 

Vincent turut berkata, “SDB ialah sebuah institusi kewangan pembangunan di bawah seliaan Kementerian Kewangan Negeri Sabah dan SDB akan terus memenuhi mandat yang diberikan untuk memenuhi keperluan pembangunan sosio ekonomi Sabah.”

Kolaborasi antara SME Bank dengan MUIS pula akan menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama bagi menjayakan Program Keusahawanan Asnaf ISHRAF 2.0 yang dijangka bermula pada bulan Oktober 2021.

Melalui kerjasama ini, MUIS akan memilih 10 orang peserta daripada kalangan usahawan Asnaf bagi menyertai Program ISHRAF 2.0 SME Bank.  Para peserta akan mengikuti latihan keusahawanan secara berstruktur yang dikendalikan oleh perunding latihan keusahawanan secara dalam kelas dan sesi bimbingan berkala secara berterusan selama setahun bagi memastikan perkembangan perniagaan serta peningkatan tahap sosioekonomi para peserta, sekali gus mengeluarkan mereka daripada golongan yang menerima zakat kepada kelompok yang mengeluarkan zakat.

ISHRAF adalah satu program yang dirangka khusus untuk pembangunan usahawan Asnaf dan mula diperkenalkan pada tahun 2020 (ISHRAF 1.0). Kehadiran Program ISHRAF adalah tepat pada masanya memandangkan ramai usahawan Asnaf kategori mikro dan B40 telah terjejas teruk disebabkan pandemik COVID-19.

Selain daripada negeri Sabah, Program ISHRAF 2.0 ini juga diperluaskan lagi dengan melibatkan usahawan Asnaf terpilih di lima buah negeri lain iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perlis.

Majlis menandatangani MoU antara SME Bank dengan SDB diwakili oleh Aria Putera dan SDB telah diwakili oleh Vincent.

Bagi sesi penyerahan Surat Niat (Letter of Intent)  antara SME Bank dengan MUIS, MUIS diwakili oleh Timbalan Yang di-Pertua, Ustaz Malai Ali Malai Ahmad dan SME Bank diwakili oleh Aria Putera.

Majlis ini telah disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Menteri Kewangan lI Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun,  dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, YB Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top