MATUNGGONG: Slogan keramat ‘Bersatu’ menjadi elemen terpenting bagi memastikan Parti Bersatu Sabah (PBS) terus utuh dan relevan di bumi Sabah.
Timbalan Presiden PBS Datuk Jahid Jahim berkata, kesatuan dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi sehingga ke peringkat Pusat menjadi tunjang utama kekuatan parti itu.
“Resepi kebersamaan, kesatuan, keyakinan rakyat dan integiriti juga antara lain yang menjadi nadi perjuangan PBS selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBS Matunggong, di sini, pada Jumaat.
Turut hadir ADUN Tandek Hendrus Anding, Ketua Exco Pemuda PBS Pusat Christoper Mandut, Ketua Exco Wanita PBS Pusat Datin Malianah Ugau dan Pengerusi Penganjur Marius Masain.
Katanya, sejak dahulu elemen terpenting yang menjadi pegangan demi memajukan parti tersebut dan membela rakyat Sabah adalah slogan keramat PBS ‘Bersatu, Bersatu, Bersatu’.
“Niat dan cita-cita parti adalah murni dan tujuan jelas, iaitu bagi memastikan hak-hak rakyat Sabah sentiasa terbela,” katanya.
Menurut beliau, walaupun selama ini PBS terpaksa berhadapan dengan pelbagai situasi dan senario politik yang berbeza-beza, namun sehingga kini, parti itulah yang sentiasa konsisten dari segi keputusan dan komitmen sehingga mampu bertahan selama 37 tahun tanpa gagal melaksanakan tuntutan-tuntutan perlembagaan parti.
Katanya, perlu dimaklumkan kepada anak-anak muda sekarang bahawa PBS relevan sejak dahulu, sekarang dan pada masa akan datang, di mana merekalah yang bakal meneruskan perjuangan parti itu nanti.
“Di sinilah peringkat peralihan untuk meremajakan parti, dan kita juga sedang dalam proses yang sama dengan mengambil pendekatan menubuhkan Gerakan Belia Beliawanis Bersatu (GBBB) sehingga ke akar umbi,” katanya.
Mengenai pendirian PBS di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula katanya, PBS sentiasa menghormati kawan selagi kawan itu menghormati PBS dan sentiasa memegang persefahaman sesama parti politik.
“Memang ramai juga yang ingin ‘bersahabat’ dengan PBS, ini menunjukkan bahawa parti ini akan menjadi satu pilihan yang sukar untuk ditolak suatu masa nanti.
Jelas beliau, isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah menjadi prioriti dalam perjuangan PBS sejak dahulu, kini telah pun menerima respon positif di peringkat Dewan Rakyat, bagi mengembalikan kedaulatan dan hak negeri Sarawak dan Sabah dengan pengiktirafan MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kini masa kita untuk meminta kesaksamaan pihak Persekutuan untuk menunaikan tuntutan-tuntutan yang sudah termaktub dalam MA63 tersebut,” katanya.