Skybridge: Selesa, Selamat, Mesra Pengguna

Skybridge-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Mayor Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip memaklumkan, Skybridge Kota Kinabalu telah dibuka kepada orang awam kelmarin (9 September) bermula pada jam 7:00 pagi.

Katanya, Skybridge (jejantas) sepanjang 400 meter ini adalah sebahagian daripada Projek Skybridge Pedestrian Linkages and Traffic Improvement Works bernilai RM 31.5 juta yang merangkumi komponen – komponen seperti berikut:

  • Jejantas yang dilengkapi dengan 20 kiosk niaga berhawa dingin, eskalator dan lif untuk golongan kelainan upaya;
  • Pembaikan Jalanraya
  • Lintasan Pejalan Kaki
  • Menaiktaraf bulatan menjadi persimpangan dengan lampu isyarat
  • Laluan Pejalan Kaki Berbumbung
  • Lampu Jalan
  • Peningkatan landskap dan hiasan jalan

Syarikat pemaju telah membiayai projek di atas melalui peruntukan Dana Mudahcara daripada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

Walaubagaimanapun, pada tahun 2018, syarikat pemaju telah digulungkan dan akibat daripada penggulungan tersebut Dana Mudahcara telah dibatalkan oleh UKAS.

Noorliza

Apabila Dana Mudahcara telah dibatalkan, projek tersebut terbengkalai.

“Demi kepentingan awam, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengambil inisiatif untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Negeri Sabah bagi menyiapkan projek ini.

“Atas keprihatinan kepada rakyat, Kerajaan Negeri Sabah bersetuju membiayai projek tersebut atas dasar perkongsian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan iaitu 50%-50%. Jumlah peruntukan yang diluluskan untuk menyiapkan infrastruktur dan kerja-kerja yang belum disiapkan adalah sebanyak RM4.7 juta,” katanya dalam kenyataan media.

Skybridge menghubungkan Pusat Komersial Api-Api, Pusat Membeli Belah Centre Point, Pusat Komersial Warisan Square dan Oceanus Waterfront melalui laluan berikut:

  • Pintu masuk Oceanus
  • Pintu masuk Warisan
  • Pintu masuk Marina
  • Pintu masuk Api Api 1
  • Pintu masuk Api Api 2
  • Pintu masuk Asia City

“Sementara itu, pintu masuk ke-7 iaitu pintu masuk Centre Point Sabah (CPS) belum dibuka kerana pihak CPS sendiri semasa fasa pembinaan telah menyatakan hasrat untuk membina sendiri tangga dan laluan masuk dalam tempoh enam bulan selepas pembangunan Skybridge siap keseluruhannya.

“Dalam akujanji yang dikeluarkan oleh pihak CPS juga menyatakan mereka akan menanggung sendiri kos pembinaan berkaitan,” jelas Noorliza.

Secara keseluruhannya, SkyBridge Kota Kinabalu dilengkapi dengan kemudahan jejantas berbumbung,eskalator, dua lif untuk golongan kelainan upaya (OKU), 20 kiosk perniagaan berhawa dingin, dan kamera litar tertutup bagi tujuan keselamatan.

“DBKK berharap Skybridge Kota Kinabalu bukan saja dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna tetapi juga membantu menyediakan kemudahan perniagaan untuk mereka yang berminat.

“Borang tawaran untuk menyewa lot-lot berkaitan akan diedarkan dalam masa terdekat.

“Pihak DBKK juga mengharapkan agar para pengguna sentiasa menjaga kebersihan serta tidak menyalahgunakan kemudahan yang disediakan,” katanya. – Warta Oriental

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top