SKM Sabah Salur Peruntukan Bernilai RM1.55 Juta Bantu Koperasi Terjejas Covid-19

koperasi-sabah.jpg
Kongsi Bersama

KUDAT: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah akan menyalurkan peruntukan bernilai RM1.55 juta bagi membantu koperasi terjejas akibat pandemik Covid-19 di negeri ini.

Pengarah SKM Sabah, Matias Kundapin yang mengumumkan ini berkata, pendekatan utama SKM Sabah pada masa ini adalah menerusi tiga program intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi di bawah Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Katanya, program berkenaan merupakan usaha Kerajaan untuk membantu gerakan koperasi di Malaysia yang turut terkesan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) dan diberi tanggungjawab kepada SKM untuk menyalurkan peruntukan tersebut menerusi inisiatif PEMULIH bagi membantu kelangsungan operasi koperasi yang terkesan.

Tiga program berkenaan ialah Penubuhan Koperasi Prihatin Rakyat (KPR), Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) serta Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER).

Beliau menjelaskan bagi KPR, SKM Negeri menyalurkan bantuan keseluruhan berjumlah RM300,000 dalam membantu penubuhan koperasi baharu kepada golongan sasar seperti usahawan terjejas, golongan hilang pendapatan dan siswazah menganggur yang mana ia menggalakkan penubuhan koperasi di kalangan mereka dengan pemberian insentif sehingga maksimum RM100,000 bagi setiap koperasi tertakluk kepada projek yang akan dilaksanakan.

“Sebagai contoh, pekerja di dalam sektor perhotelan yang ada kalangan pekerjanya hilang punca pendapatan apabila diberhentikan kerja, jadi mereka tubuhkan koperasi dengan mengusahakan sesuatu aktiviti perkhidmatan perniagaan dengan ahli sekurang-kurangnya 20 orang.

“Jadi, kita salurkan sehingga RM100,000 dalam tempoh tiga bulan dengan syarat koperasi berkenaan perlu ada kertas kerja dan projek berkaitan sebelum dinilai untuk diberikan geran tersebut,” katanya semasa merasmikan Majlis Perasmian Bangunan Kedai Koperasi Wanita Dinazang Inovatif Kudat Berhad dan Program CSR Penyerahan Bantuan Bakul Makanan Kepada Anggota Gerakan Koperasi Wilayah Kudat Yang Terkesan anjuran SKM Sabah dengan kerjasama Angkasa Dan Co-Opbank Pertama Cawangan Negeri Sabah di sini….

Matias berkata, di bawah program JKPR pula, SKM Negeri menyalurkan insentif sehingga RM255,000 secara berfasa dan setakat ini sebanyak 14 buah koperasi di negeri ini yang menjalankan JKPR di bawah aktiviti borong runcit yang telah dikenalpasti akan mendapat manfaat itu.

Katanya, SKM akan memberikan insentif maksimum sehingga RM15,000 masing-masing kepada koperasi yang layak atau mengikut kemampuan koperasi untuk menjalankan program jualan harga patut di beberapa kawasan di Sabah.

“Kita ada JKPR di kawasan Beaufort, Keningau, Tawau, Pantai Barat Selatan, Pantai Barat Utara, Labuan dan Kudat yang juga disertai oleh Koperasi Wanita Dinazang Inovatif Kudat Berhad,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, dalam program ini SKM memberikan subsidi bagi harga jualan barangan asas seperti beras, contohnya harga jualan bagi sekampit 10 kilogram (kg) beras RM26, subsidi sebanyak RM4.00 iaitu 15 peratus dan koperasi berkenaan boleh menjual dengan harga RM22.50.

“Walau bagaimanapun, bagi barang kawalan, ianya adalah tertakluk kepada syarat dan kelulusan daripada pihak berwajib,” katanya.

Katanya, antara koperasi yang menjalankan JKPR di Sabah ialah Koperasi Warisan Wangkod Tamparuli Sabah Berhad; Koperasi Badan Dakwah Daerah Kudat Berhad; Koperasi Wawasan Rakyat Sabah Berhad; Koperasi Wanita Dinazang Inovatif Kudat Berhad; Koperasi Bersatu Kampung Suasa Beaufort Berhad; Koperasi Jaya Murni Beaufort Berhad; Koperasi Keluarga Syamsudin Bila Labuan Berhad; Koperasi Orang Asal Lanas Sook Keningau Berhad; Koperasi Kampung Bunga Raya Keningau Berhad; Koperasi Taburi Kota Belud Berhad; Koperasi Pukak Kiulu Tuaran Berhad; Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad; Koperasi Emas Tawau Sabah Berhad; dan Koperasi Kampung Luanti Baru Keningau Berhad.

Manakala menerusi jualan kedai harga patut di bawah program sama, katanya, subsidi diberikan bukan sahaja kepada barangan asas namun terbuka kepada barang keperluan lain seperti makanan basah, contohnya ayam dan sayur, lampin pakai buang dan produk kesihatan seperti mask dan hand sanitiser.

Matias berkata, bagi program TRANSFER jumlah yang diperuntukan adalah sebanyak RM1 juta.

Katanya, program ini memfokuskan kepada koperasi yang perniagaannya terjejas akibat pandemik namun berhasrat untuk mengembangkan atau menukar aktiviti sedia ada kepada aktiviti sektor lain menerusi mekanisme yang bersesuaian bagi mengekalkan kestabilan kewangan koperasi.

“Sebagai contoh, koperasi yang terlibat di dalam sektor pelancongan yang terjejas kerana sektor pelancongan ditutup, namun berhasrat untuk menjalankan aktiviti lain seperti mengusahakan tanaman kelapa sawit, jadi mereka memerlukan keperluan modal dari segi pembelian benih, mengadakan infrastruktur selain keperluan kepada modal pusingan bagi menggerakkan semula aktiviti baharu ini. SKM akan memberikan geran supaya dapat membantu koperasi berkenaan meneruskan operasi perniagaannya di dalam sektor ekonomi yang berbeza,” jelas beliau.

Kata Matias, ketiga-tiga program ini bagaimanapun mempunyai garis panduan, terma dan syarat serta kriteria tertentu.

“SKM akan memberikan geran supaya dapat membantu koperasi berkenaan meneruskan operasi perniagaannya di dalam sektor ekonomi yang berbeza. ketiga-tiga program ini bagaimanapun mempunyai garis panduan, terma dan syarat serta kriteria tertentu.

“Oleh yang demikian, mana-mana koperasi perlu mengemukakan kertas kerja dan tempoh pelaksanaan bagi semua program terbabit adalah selama setahun selain tertakluk kepada peruntukan dan syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.

Mengenai Koperasi Wanita Dinazang Inovatif Kudat Berhad, Matias berkata koperasi ini telah didaftarkan pada 27 julai 2012 dengan kekuatan anggota seramai 48 orang.

“Koperasi ini boleh dikatakan salah satu koperasi yang aktif di Kudat yang sentiasa menunjukkan kesungguhan dan komitmen yang tinggi. Untuk itu, dengan berkat kesungguhan dan usaha yang berterusan, akhirnya koperasi telah memiliki bangunan kedai sendiri yang bernilai RM60,000 menerusi bantuan pembangunan SKM.

“Pemberian Bantuan Pembangunan SKM kepada koperasi menunjukkan SKM sentiasa membantu koperasi untuk menggiat dan meningkatkan penglibatan koperasi dalam aktiviti perniagaan yang berpotensi dan berdaya maju bagi meningkatkan pendapatan koperasi. Syabas dan tahniah kepada barisan kepimpinan dan anggota Koperasi Wanita Dinazang Inovatif Kudat Berhad atas kejayaan memiliki bangunan dan koperasi perlu terus berusaha untuk maju ke hadapan,” katanya, sambil berharap koperasi-koperasi yang turut hadir di majlis tersebut untuk turut merebut peluang menerokai perniagaan baharu agar sentiasa relevan dalam gerakan koperasi.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga SKM, Angkasa, Co-opbank Pertama serta semua pihak yang menjayakan program pada hari ini, sambil berharap kerjasama ini sentiasa berterusan demi pembangunan dan kemajuan gerakan koperasi di Sabah.

Beliau turut menyampaikan sumbangan bantuan bakul makanan daripada SKM, Angkasa dan Co-opbank kepada 120 orang anggota koperasi, yang melibatkan 7 buah koperasi iaitu Koperasi Badan Dakwah Islam Daerah Kudat Berhad, Koperasi Keluarga Nohali Amdayung Kudat Berhad, Koperasi Tukad Kudat Berhad, Koperasi Jati Kampung Tampakan Kudat Berhad, Koperasi Wanita Dinazang Inovatif Kudat Berhad, Koperasi Pembangunan Tanah Kumbatang Kudat Berhad Dan Koperasi Matunggong Kudat Berhad.

Turut hadir antaranya ialah Pengerusi Perhubungan Angkasa Negeri Sabah, Dr. Zhamri Ghulamrasul; Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan), Syuhani Zulkiflee; Pengurus Angkasa Negeri Sabah, Aiddie Dahlin; Pengurus Cawangan Co-Opbank Pertama Cawangan Kota Kinabalu, Eddie Hisham Nordin; dan Pengerusi Wanita Dinazang Kudat Berhad, Inonsiha Uhou. – Warta Oriental

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top