KOTA KINABALU: Peluasan Skim Perubatan MADANI ke Sabah dilihat mampu menyediakan perkhidmatan perubatan terbaik kepada golongan B40 di negeri ini terutama di kawasan luar bandar.
Peniaga hasil laut Zainul Rusyaidi Abdullah, 38, berkata usaha itu juga memperlihat keprihatinan kerajaan terhadap keperluan kesihatan penduduk tanpa mengira kawasan kediaman mereka.
“Selalunya apabila ada kemudahan diberikan, penduduk bandar yang menerima manfaatnya, tetapi skim ini kita lihat dikembangkan ke kawasan di luar Kota Kinabalu jadi ini menunjukkan kerajaan mahu beri kemudahan ini kepada semua rakyat tanpa mengira di mana mereka berada,” katanya kepada Bernama.
Beliau berharap lebih banyak klinik terutama di luar bandar dan pedalaman mendaftar dan menyertai Skim Perubatan MADANI itu bagi membolehkan perkhidmatan kesihatan disediakan di kawasan berkenaan untuk rakyat.
Seorang penjawat awam Jeflie Tongusin, 47, dari Putatan berkata usaha memperlua Skim Perubatan MADANI itu boleh memainkan peranan penting menampung perkhidmatan perubatan di hospital kerajaan yang mengalami kesesakan.
“Kerajaan sudah memberikan perkhidmatan kesihatan yang baik di hospital dan klinik tetapi ia masih tidak mencukupi terutama di luar bandar dan pedalaman, jadi bila ada skim ini, klinik swasta dapat membantu mengurangkan kesesakan itu dan lebih ramai penduduk dapat menikmati kemudahan kesihatan,” katanya.
Dr Fatimawati Sabarkhan, 41, seorang doktor di sebuah klinik yang menawarkan Skim Perubatan MADANI itu di sini berkata langkah mengembangkan skim itu juga dapat membantu klinik swasta mengekalkan cawangan terutama di luar bandar dan pedalaman.
“Banyak klinik swasta di Sabah mahu menawarkan perkhidmatan di luar bandar dan pedalaman tetapi terkekang kerana faktor perniagaan dan kewangan, jadi adanya skim ini akan bantu tampung kos yang kami keluarkan untuk beroperasi di kawasan itu seterusnya beri khidmat kepada penduduk,” katanya.
Semakan di laman sesawang skim itu mendapati 49 klinik swasta telah menawarkan Skim Perubatan MADANI di Kota Kinabalu yang merupakan daerah rintis projek itu sebelum ia dikembangkan ke seluruh daerah lain di negeri ini.
Semakan juga mendapati, 10 klinik di beberapa daerah luar bandar dan pedalaman Sabah antaranya Beaufort, Keningau, Kota Marudu, Tenom, Papar, Sandakan, Semporna dan Tawau juga telah menawarkan skim perubatan itu.
Skim Perubatan MADANI adalah inisiatif kerajaan bagi golongan B40 bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan penerima inisiatif terhadap Penjagaan Kesihatan Primer Akut (Rawatan Pesakit Luar Kes-Kes Akut).
Di bawah skim itu, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta tanggungan boleh mendapatkan rawatan secara percuma di klinik perubatan swasta yang berdaftar bagi mengurangkan beban kos rawatan kesihatan di samping meningkatkan kesejahteraan golongan berpendapatan rendah.- BERNAMA