Skim Gaji, Elaun Lebih Baik Untuk Jurulatih, Insentif Kemenangan Baharu Untuk Atlet

ellron.jpg

Datuk Ellron Angin (gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah telah memperkenalkan skim pembayaran gaji/elaun yang lebih baik dan sistematik kepada jurulatih-jurulatih negeri Sabah.

Menterinya, Datuk Ellron Angin berkata, penetapan skim ini mengikut kepada tahap kelulusan Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) dan Persijilan Sukan Spesifik setiap jurulatih.

Selain itu, katanya, pertimbangan juga diberikan kepada jurulatih yang telah menunjukkan mutu kejurulatihan terbaik khususnya dalam melahirkan atlet-atlet yang berjaya memenangi pingat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Oleh itu, Sukan Malaysia atau SUKMA merupakan salah satu platform baik untuk menilai prestasi jurulatih-jurulatih negeri ini,” kata Ellron yang juga Pengerusi MSN Sabah semasa berucap di  Majlis Amanat, Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan 2020/2021 dan Geran Tahunan Persatuan Sukan Sabah 2022, bersempena

Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2022, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa

Ellron berkata, KBSS juga akan melaksanakan Penilaian Penarafan Bintang atau `Star Rating’ keatas semua persatuan-persatuan sukan naungan MSN Sabah.

Sehingga hari ini, terdapat 53 persatuan yang menerima geran tahunan dari Kementerian ini.

“Pelaksanaan Star Rating ini bertujuan untuk melihat secara teliti aspek keorganisasian, perancangan program, pelaksanaan program dan juga pencapaian persatuan pada keseluruhannya.

“Sejajar itu, saya berharap semua persatuan dapat memberikan yang terbaik dan bukan sekadar duduk memanaskan kerusi jawatan yang disandang.

“Saya sedar, semua pegawai dalam persatuan merupakan sukarelawan, tetapi jika tidak dapat melaksanakan tanggungjawab, adalah lebih baik jawatan itu dilepaskan dan diisi oleh mereka yang lebih komited,” katanya.

Majlis itu meraikan kejayaan yang dicatat oleh atlet-atlet cemerlang Sabah dengan menyampaikan insentif kemenangan di atas kejayaan mereka memenangi pingat di kejohanan kebangsaan dan antarabangsa.

“Kerajaan kita juga telah meluluskan kadar bayaran insentif kemenangan yang baharu kepada atlet yang telah berjaya mengharumkan nama negara dan negeri.

“Kadar bayaran insentif telah dinaikan sedikit sebanyak jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang lalu, dengan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Dengan kelulusan ini, Kementerian berharap, insentif kemenangan ini akan menguatkan lagi semangat atlet-atlet negeri ini untuk berlatih dengan lebih gigih dan membawa pulang lebih banyak pingat khususnya pingat emas di kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” kata Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook.

Beliau berkata, pembangunan belia dan beliwanis melalui aktiviti sukan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan dalam membentuk sasiah masyarakat yang harmoni, bertoleransi dan bersatu-padu.

“Sukan membina disiplin tinggi masyarakat khususnya anak-anak muda yang akan menjadi harapan kita di masa hadapan.

“Menyedari hakikat itu, Kerajaan dalam memastikan atlet-atlet negeri ini mengejar kejayaan dalam sukan, juga tidak pernah mengabaikan kepentingan akademik mereka. Kerajaan mahu atlet Sabah bukan sahaja berjaya dalam sukan, tetapi juga mempunyai intelektual, pendidikan atau pengetahuan yang baik, “A Thinking Athlete”.

“Dalam erti kata lain, pembangunan sukan dan akademik atlet perlu seimbang, ini akan memastikan masa depan yang lebih terjamin kerana kita tidak boleh menjadi atlet sepanjang hidup kita, tetapi dengan adanya pengetahunan yang baik, ditambahkan dengan kebolehan bersukan, sudah tentu masa depan anak-anak kita akan lebih terjamin apabila memasuki alam bekerja,” katanya. – Warta Oriental

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top