KOTA KINABALU: Pemberi maklumat yang mendakwa mempunyai video membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Sabah yang dikatakan membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit, masih enggan menyerahkan bukti berkaitan untuk tindakan lanjut, lapor HMetro.
Portal berita itu memetik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebagai berkata, pihaknya juga tidak dapat memberi jaminan perlindungan dan imuniti seperti dituntut individu itu sehingga memperoleh bukti berkaitan.
“Saya tidak dapat memberi sebarang jaminan sehingga dia memberi kami semua (bahan bukti).
“Apa yang berlaku sekarang, dia berikan kepada kamu (media) tapi bukan kepada SPRM. Jadi siapa kami? Kami hanyalah ‘orang kecil’,” katanya.
Beliau dilaporkan berkata demikian semasa ditemui pada Program Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024 di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di Petaling Jaya, hari ini.
Menurut Azam, setakat ini pihaknya sudah merekodkan 15 keterangan individu termasuk pemberi maklumat dan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berkaitan video tular skandal rasuah itu, yang selesai Sabtu lalu.