KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai menggesa DAP Sabah memberi keutamaan kepada kestabilan politik negeri, ketika parti itu sedang menilai kedudukannya dalam kerajaan negeri berikutan dakwaan skandal perlombongan.
FMT dalam laporannya semalam memetik Joniston sebagai berkata beliau menghormati hak DAP untuk membuat perbincangan dalaman dan keputusan yang sewajarnya.
“Saya berpandangan bahawa adalah kritikal untuk semua parti dalam kerajaan negeri, termasuk DAP, mengutamakan serta memelihara kestabilan politik sedia ada, terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini.
“Memandangkan siasatan terhadap dakwaan rasuah ini masih berjalan, adalah penting untuk kita menumpukan perhatian kepada pelaksanaan inisiatif yang digariskan dalam belanjawan negeri 2025 yang baru diluluskan.
Walaupun prinsip tadbir urus baik dan pentadbiran bersih mesti kekal menjadi keutamaan, memastikan kestabilan politik adalah sama penting untuk kemajuan negeri,” kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah kepada portal berita tersebut.