Sistem Audio di DUN Sabah Akan Dinaik Taraf Kepada Sistem Audio Digital

JKR-audio-DUN.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU: Sistem audio di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dinaik taraf dari sistem analog kepada sistem digital.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Ir.Ali Ahmad Hamid berkata, proses naik taraf ini perlu dilaksana selaras dengan perubahan semasa di mana kebanyakan dewan-dewan persidangan termasuk acara-acara rasmi kerajaan ketika ini mengunakan sistem audio diigital

“Sudah tiba masanya sistem audio yang sedia ada yang digunakan sejak tahun 2008 lagi dinaik taraf kepada sistem audio digital bagi mendapatkan kesan suara yang lebih jelas ketika dewan sedang bersidang,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjuan di Pusat Audio kendalian JKR di DUN Sabah pagi kemarin.

JKR ditugaskan menjaga sistem audio semasa DUN bersidang yang melibatkan sekitar 6-8 orang petugas yang bertugas, termasuklah membuat rakaman secara langsung semasa persidangan yang dimuat naik di portal media DUN dan YouTube.

Menurut Ali Ahmad, pihaknya ketika ini terpaksa menggunakan sistem analog yang sedia ada dengan mengubah suai dan menambah beberapa peralatan digital bagi mempastikan sistem audio tidak terjejas ketika perbahasan sedang berlangsung.

Selain itu, katanya, kakitangan yang ditugas terpaksa turun naik ke dalam dewan untuk mempastikan sistem audio berfungsi dengan baik sebelum persidangan bermula.

“Cara ini tidak begitu efektif kerana mengubah suai sistem analog kepada digital secara berperingkat-peringkat akan memakan kos yang tinggi bagi membeli peralatan audio digital. Walaupun peralatan yang dibeli kecil tapi harganya terlalu tinggi, justeru pilihan terbaik kita tukar secara keseluruhannya sistem analog yang ada kepada sistem digital,” katanya.

Menurut beliau, perkara ini telahpun dibincangkan dengan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya yang bersetuju agar sistem audio yang sedia ada dinaik taraf kepada sistem yang setanding dengan yang terdapat di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Bagi tujuan untuk menaiktaraf sistem audio digital ini, Ali Ahmad berkata, dianggarkan kosnya sekitar RM3.5 juta.

“Pihak kami (JKR) akan mengemukakan kertas kerja dan anggaran kos yang diperlukan secepat mungkin kepada Speaker DUN untuk tindakan selanjutnya,” kata beliau.

Ali Ahmad menambah, selain itu beberapa cadangan lain dalam kerja-kerja menaik taraf ini termasuklah pemasangan video diigital dan skrin televisyen yang diletakan di kerusi setiap ADUN untuk kemudahan mereka semasa bersidang.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top