Sisa Kumbahan Babi Cemar Sungai Di Tamparuli, JAS Ambil Tindakan Susulan

cemar-sungai.jpg

KOTA KINABALU: Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah John Rampai berkata, pihaknya akan membuat tindakan susulan berhubung pencemaran di Sungai Mangkaladoi, Tamparuli, akibat pelepasan sisa kumbahan penternakan babi di hulu sungai berkenaan.

Katanya, JAS Sabah menerima aduan orang awam termasuk salinan video yang menunjukkan terdapat pencemaran dalam kuantiti yang banyak di Sungai Mangkaladoi pada 30 November.

“Susulan itu, pasukan penyiasat JAS yang turut disertai Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Jabatan Veterinar Sabah, UPPM (Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat) serta JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) Kampung Bantayan pergi ke lokasi aduan pada hari sama.

“Siasatan mendapati, air hitam yang dilepaskan ke Sungai Mangkaladoi berpunca daripada pelepasan kolam rawatan ternakan babi yang terletak di kawasan hulu sungai,” katanya kepada FMT pada Selasa.

John berkata, tindakan susulan akan dibuat terhadap hasil siasatan bersama jabatan berkaitan dalam tempoh terdekat.

“Pihak JAS ingin mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan segera aduan pencemaran ini kepada agensi terlibat,” katanya.

Terdahulu, FMT melaporkan pencemaran di sungai berkenaan terus “menghantui” ribuan penduduk yang tinggal di sepanjangnya.

Seorang penduduk asal Kampung Mangkaladoi, Alijus Sipil berkata, kejadian itu sudah lama berlaku dan aduan kepada pihak berkaitan beberapa kali dibuat namun ia masih berlaku.

“Sebagai penduduk asal Kampung Mangkaladoi dan Bantayan di Tamparuli, saya amat sedih dengan pencemaran sungai yang dilakukan oleh pengusaha ternakan babi di hulu Sungai Mangkaladoi,” katanya.

Menurutnya, perkara itu sudah lama dilakukan pengusaha berkenaan dan aduan juga telah banyak kali dibuat kepada pelbagai pihak, tetapi tiada kesan dan pengusaha penternakan babi tersebut masih beroperasi sehingga kini. – Sumber: FMT

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top