Sipitang Bakal Jadi Hub Pengeluar Buah-buahan, Ternakan Bermutu Tinggi

sipitang-hub-buah.jpg

Datuk Dr.Yusof Yacob ( dua dari kiri) bersama Syaheddrul R. Joddari (tiga dari kiri) dan jemputan lain pada Majlis Pecah Tanah SHAPE di Kg. Iburu Sipitang.

Kongsi Bersama

SIPITANG: Daerah ini bakal menjadi hub pengeluar buah-buahan tempatan dan ternakan yang bermutu tinggi untuk pasaran tempatan dan eksport apabila Sipitang Halal Agri Plantation Economic Development Hub (SHAPE) seluas 2,798 hektar di Kampung Iburu di sini apabila siap sepenuhnya kelak.

SHAPE akan dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) dengan anggaran keseluruhan pelaburan sebanyak RM167 juta yang dijangka mampu menarik pelaburan luar untuk melabur di Iburu Sipitang.

Pengurus Besar SLDB Syaheddrul R. Joddari berkata projek itu akan dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu fasa pertama melibatkan Kawasan Iburu Komersial milik SLDB seluas 1252 ha dengan kos pembangunan sebanyak RM96.8 juta.

“Fasa kedua pula melibatkan kawasan Iburu Agropolitan seluas 1133 ha dicadang untuk dilaksanakan dengan kos sebanyak RM70.2 juta.

“Konsep keseluruhan SHAPE yang berasaskan pertanian moden adalah program pembangunan berfokus kepada pegeluaran, pemasaran serta pengedaran makanan segar dan kering untuk pasaran tempatan selain eksport ke negara Brunei Darussalam yang juga Hub Bekalan Makanan Halal Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah SHAPE di Kampung Iburu Sipitang di sini.

Majlis dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr.Yusof Yacob yang turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Sipitang Awangku Raimy Pg Abd Rahman.

Syaheddrul berkata antara objektif SHAPE ialah menyumbang kepada peningkatan pendapatan negeri melalui aktiviti eksport yang secara langsung akan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

Katanya SHAPE juga akan membantu mengurangkan kebergantungan negeri pada produk import berikutan terdapat tiga komponen dalam hub tersebut.

“Zon Hortikultur meliputi tanaman halia, avocado, nenas dan durian; Zon Agricultutre bagi kelapa dan kopi; Zon Ternakan untuk lembu dan kambing; Zon Pentadbiran, Komersil dan Pusat Pembangunan dan Penyelidikan (R&D).

“Kita berharap dapat mewujudkan lebih ramai Agropreneur muda dalam kalangan peserta yang lebih kompetitif dan mampan, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat luar bandar,” katanya.

Tambahnya pihaknya menganggarkan sebanyak 284 peluang pekerjaan diwujudkan pada Fasa pertama dan 264 peluang pekerjaan pada Fasa kedua.

“Pelaksanaan projek ini akan memberikan manfaat kepada 2500 komuniti di sekitar Kampung Iburu yang berpendapatan tinggi melalui penglibatan dalam pelbagai aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan yang wujud,” katanya.

Syaheddrul berkata, SLDB juga menandatangai perjanjian persefahaman (MoU) bagi kerjasama mengusahakan tanaman durian musang king dan avocado serta meningkat pengeluaran hasil tanaman buah-buahan lain yang berpotensi tinggi bersama Koperasi Keluarga Balang Basi (KBB) dengan melibatkan 50 peserta dan Koperasi Kampung Iburu Sipitang Berhad (KKISB) membabitkan 32 peserta.

“SLDB memberi harapan tinggi agar SHAPE dapat dijayakan sepenuhnya sekaligus menjadikan daerah Sipitang sebagai hub pengeluar buah-buahan tempatan dan ternakan yang bermutu tinggi disamping dapat membantu melahirkan usahawan tani yang berjaya,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top