TAWAU: Dua lelaki tempatan masing-masing didenda RM20,000 dan dua bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini kelmarin selepas mengaku bersalah menyimpan 5,525 liter minyak petrol tanpa permit, Mei lalu.
Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh berumur 27 dan 45 tahun mengikut Seksyen 20(1), Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta yang sama.
Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh berkenaan dipercayai melakukan perbuatan itu pada 28 Mei lalu, kira-kira jam 9.05 pagi di kawasan perairan laut, Pulau Boheyan, Semporna.
Mereka didapati menyimpan barang kawalan iaitu minyak petrol sebanyak 5,525 liter dan sembilan tong gas petroleum cecair di premis yang tidak dibenarkan oleh pengawal bekalan.
Hakim kemudiannya memerintahkan kedua-dua tertuduh masing-masing didenda RM20,000 dan dua bulan penjara.
Mahkamah juga turut memerintahkan semua tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Dr Jon Lee Leong.