Simpan Hasil Haiwan Terlindung, Lelaki Ditahan

paw-beruang-madu.jpg
Kongsi Bersama

SOOK: Seorang lelaki berusia 52 tahun telah ditahan kerana menyimpan sejumlah lapan jenis hasil haiwan yang disyaki dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, suspek ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tuawon pada 10 September lalu.

Penahanan itu adalah hasil pemantauan dan risikan selama sebulan, katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

“Kira-kira jam 12.40 tengah hari Sabtu lalu, 10 September, operasi bersepadu Jabatan Hidupan Liar negeri, polis dan Protect Jabatan Perhutanan Sabah menyerbu rumah suspek di Kampung Tuawon Trusmadi.

Hasil penggeledahan telah menjumpai empat tapak kaki dan sembilan gigi beruang madu, sisik tenggiling, satu tengkorak burung enggang, tujuh pasang dan empat batang tanduk kijang, enam pasang tanduk rusa, tujuh batang duri landak, enam ekor burung serindit hidup dan dua ekor kura-kura hidup.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41, iaitu milikan haiwan dan hasil haiwan dilindungi dibawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Menurut Augustine, beruang madu dan tenggiling merupakan haiwan yang dilindungi sepenuhnya di Sabah.

Menyimpan haiwan atau hasil haiwan itu tanpa kebenaran yang sah adalah merupakan satu kesalahan dan boleh disabit hukuman denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 dan penjara tidak kurang daripada 1 tahun dan tidak melebihi 5 tahun dibawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Augustine turut mengingatkan orang awam bahawa jabatan ini melalui Unit Risikannya sentiasa memantau dan mengenalpasti sebarang aktiviti haram atau jenayah terhadap hidupan liar melalui media sosial.

Beliau juga berterima kasih dan mengalu-alukan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan jenayah hidupan liar agar memaklumkan kepada pihak jabatan dengan kadar segera.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top