Sikap Tidak Rasional Dalam Menuntut Hak-Hak Berkaitan MA63 Tidak Untungkan Sesiapa

IMG-20211118-WA0003.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU, 18 November, 2021: Sikap yang tidak rasional dan lebih suka mengikut perasaan dalam isu tuntutan MA63 tidak akan mendatangkan keuntungan kepada mana-mana pihak, kata Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Datuk Julita Majungki berkata demikian semasa mengulas tindakan sebilangan kecil netizen yang melontarkan tuduhan jahat, maki hamun dan cacian melampau terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, (HESS) Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, ketika menggulung sesi perbahasan di Parlimen baru-baru ini.

Katanya, sikap ini amat dikesali dan tidak menggambarkan adab dan sopan masyarakat kita di Sabah.

Julita menegaskan, sekiranya diteliti dengan saksama dan rasional, kenyataan Menteri HESS itu adalah seimbang dan tidak sama sekali menafikan hak-hak dan kepentingan negeri Sabah.

“Apa yang ditekankan oleh Menteri HESS ialah pendekatan terbaik yang sepatutnya kita ambil untuk menangani isu-isu tuntutan MA63.

“Mungkin ini gagal difahami atau sengaja diabaikan oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan,” katanya.

Semua rakyat Sabah tahu bahawa tuntutan terhadap hak-hak negeri yang terabai bukanlah perkara yang baharu.

Julita juga menegaskan PBS sebagai parti tempatan tertua di negeri Sabah pun lahir atas dasar kesedaran terhadap kepentingan melindungi dan memulihkan hak-hak negeri yang terhakis.

“Perlu diingat bahawa daripada tempoh 58 tahun yang diwar-warkan oleh netizen mengenai penderitaan dan diskriminasi yang dialami negeri Sabah dalam Persekutuan, 36 tahun adalah tempoh dimana PBS berdiri dan berjuang bersama rakyat mempertahankan hak-hak negeri Sabah sama ada sebagai kerajaan mahupun pembangkang. Itulah sebabnya Dr. Maximus yang juga Presiden PBS menyatakan bahawa perjuangan menuntut hak-hak negeri Sabah memerlukan kerjasama semua pihak, ” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

“Pengalaman PBS menjadikan parti ini sebagai rakan yang boleh dipercayai, konsisten dan berwibawa dalam menangani proses rundingan bagi mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pendekatan yang ditekankan ialah berunding secara harmoni dan bukannya berkonfrontasi.

“Penubuhan Majlis Khas MA63 yang turut dianggotai oleh Ketua Menteri dari kedua-dua negeri adalah bukti bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil serius pandangan daripada kedua-dua negeri tersebut.

“Saya berharap agar rakyat Sabah dapat bersabar dan memberi peluang kepada proses yang sedang berjalan. Ia memerlukan masa dan sebahagiannya melibatkan proses perundangan.

“Janganlah kita terpengaruh dengan sandiwara pihak-pihak tertentu yang hanya ingin mengelirukan rakyat demi kepentingan mereka sendiri,” ujarnya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top