Sifatkan ‘Perlawanan Ulangan’, Mohamad Tidak Gentar Hadapi Dr Daud di Kimanis

Mohamad-n-Dr-daud.jpg

Datuk Mohamad dan Dr Daud...bertembung sekali lagi; dulu di DUN, kini di Parlimen,

Kongsi Bersama

KIMANIS: Penyandang kerusi Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin tidak gentar berdepan dengan Ketua Parti Warisan (Warisan) Bahagian Kimanis, Dr Daud Yusof pada PRU15 ini walaupun pernah tewas ketika bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada PRU14.

Menurut laporan Astro AWANI Mohamad menyifatkan pertembungan itu sebagai rematch beliau tidak menghadapi masalah untuk mendepaninya.

“Saya tidak ada masalah dengan beliau (Daud), dan beliau adalah kawan baik saya. Kita sering berjumpa dan terserempak di majlis-majlis orang kahwin dan kadang-kadang kita bersembang sama di kedai kopi… saya boleh duduk bersama beliau, dan begitu juga beliau.

“Jadi ini ibarat perlawanan persahabatan tetapi rakyat bukan hanya menilai seorang personaliti sahaja atau personaliti mana-mana calon, tetapi paling penting ada trek rekod parti dan perkhidmatan yang telah kita (BN) bawakan kepada rakyat.

“Itu yang saya yakin akan jadi perhitungan dan pertimbangan pengundi-pengundi pada PRU kali ini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini baru-baru ini.

Mohamad yang merupakan Timbalan Menteri Pendidikan II dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis, manakala Warisan pada 15 Oktober lalu telah mengumumkan Dr Daud sebagai calonnya di kerusi tersebut.

Pada PRU14, Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis tewas di tangan Daud dengan majoriti 795 undi di DUN Bongawan, iaitu satu daripada dua kerusi DUN dalam Parlimen Kimanis.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata kemenangan beliau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 2020, menunjukkan pengundi telah memberi peluang semula kepada BN untuk meneruskan khidmat di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, PRU15 memberi lebih keyakinan buatnya berdasarkan trek rekod sepanjang lebih dua tahun berkhidmat sebagai ahli Parlimen, selain diberikan kepercayaan menganggotai barisan Kabinet.

“Alhamdulillah banyak projek pembangunan yang sempat saya bawakan dan berimpak antaranya projek naik taraf jalan Bukit Manggis-Kimanis-Papar dan ini satu ‘game changer’ bagi saya.

“Penantian rakyat sejak puluhan tahun bakal berakhir dan projek ini sudah dan sedang berjalan. Ada beberapa projek lain yang sempat saya bawakan dan saya yakin rakyat mampu menilai,” tambah Mohamad, yang menjangkakan kerusi Parlimen Kimanis berdepan sekurang-kurangnya empat penjuru.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top