KUALA LUMPUR: Menjelang persidangan Dewan Rakyat 2 Nov ini, beberapa Ahli Parlimen dari Sabah mula menjalani kuarantin di ibu negara sejak kelmarin bagi membolehkan mereka menghadiri mesyuarat ketiga penggal ketiga Parlimen ke-14 yang dijadual berlangsung sehingga 15 Dis.
Mereka perlu menjalani ujian COVID-19 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dipakaikan gelang pengawasan dan seterusnya menjalani kuarantin 14 hari, sepertimana ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Beberapa Ahli Parlimen yang dihubungi Bernama menyatakan ada yang sudah tiba di Kuala Lumpur sejak kelmarin, selain ada yang memilih untuk melakukan perjalanan hari ini, selaras arahan Setiausaha Dewan Rakyat yang meminta mereka untuk berada di ibu negara selewat-lewatnya, hari ini.
Ahli-ahli Parlimen dari Sabah itu boleh memilih untuk menjalani kuarantin di kediaman sendiri atau di hotel yang ditentukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata beliau tiba kira-kira 8 malam kelmarin di KLIA, dan diminta mengisi borang berkaitan sebelum menjalani ujian swab.
“Memandangkan saya memilih untuk kuarantin di hotel yang disediakan NADMA, semua urusan pengangkutan diuruskan oleh mereka malah bagasi kami juga disanitasi sebelum dibawa masuk ke dalam kenderaan,” katanya yang memuji kelancaran urusan itu.
Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis yang menaiki penerbangan sama dengan Chan, pula berkata beliau juga memilih untuk kuarantin di hotel disediakan NADMA dan akan menjalani kuarantin sehingga 28 Okt.
“Saya akan berada di Kuala Lumpur dalam tempoh yang lama bagi menghadiri persidangan ini disebabkan sekiranya saya mahu balik ke Sabah, saya perlu menjalani proses yang sama (dikenakan ujian swab dan dikuarantin semula) sebelum saya boleh ke Dewan Rakyat semula.
“Kita jalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab untuk dikuarantin. Bagi kita, dapat hadir ke persidangan Dewan Rakyat yang antara lain bakal membentangkan Belanjawan 2021, satu agenda penting untuk negara,” katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun berkata beliau akan mengambil penerbangan malam ini dari Kota Kinabalu dan memilih untuk menjalani kuarantin di kediaman sendiri.
“Apa-apa pun kita akan tetap mematuhi segala SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM bagi memastikan kelancaran urusan perjalanan sidang Dewan Rakyat kali ini,” katanya.
Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin dalam surat bertarikh 9 Okt yang dikongsikan Chan sebelum ini, menyebut bahawa Ahli Parlimen juga perlu menjalani ujian COVID-19 di kemudahan kesihatan kerajaan atau swasta, pada hari ke-13.
Mereka kemudiannya perlu membawa keputusan ke pejabat kesihatan daerah (PKD), sehari kemudian untuk mendapatkan surat pelepasan kuarantin dan pemotongan gelang pengawasan, jika disahkan negatif COVID-19.
Ahli Parlimen terbabit akan dirujuk ke hospital bagi rawatan lanjut, jika didapati positif COVID-19, selain perlu mengulangi prosedur sama jika pulang ke Sabah.
— BERNAMA