KUALA LUMPUR: Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) melakar kejayaan membanggakan apabila merangkul dua anugerah berprestij Brandlaureate baru-baru ini.
Dua anugerah diterima itu ialah The BrandLaureate Sustainable Business dan Brands Inspirational Achievement Awards 2022-2023 bagi kategori Perkhidmatan – Pusat Konvensyen Pelbagai Fungsi.
Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Rosmawati Lasuki, menyifatkan penganugerahan itu satu pengiktirafan yang menjadi pemangkin untuk pihaknya terus komited menyediakan perkhidmatan terbaik bukan sahaja di peringkat lokal, namun antarabangsa.
Beliau berkata, sebagai pusat konvensyen baharu dan memiliki pelbagai fungsi serta kompleks, SICC bukan hanya dijadikan tempat untuk syarikat menadakan pameran dan konvensyen, malah pelbagai acara boleh dibuat di setiap sisi dan sudut bangunan.
“Sebagai contoh, SICC mempunyai koridor luas berbanding pusat konvesyen lain. Jadi, jika ada konferensi yang dilaksanakan di dalam dewan bangunan itu maka kawasan koridor boleh dijadikan tempat pameran.
“Selain itu, pelbagai aktiviti boleh diadakan pada waktu sama seperti perkahwinan, pertemuan ahli korporat dan pelbagai lagi.
“SICC kini menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai sektor industri termasuk pihak kerajaan pusat dan negeri, persatuan ahli perniagaan, pihak hotel, ejen dan syarikat pelancongan serta banyak lagi,” katanya kepada BH pada Majlis Makan Bersama Media di De. Wan 1958 by Chef Wan semalam.
SICC terbahagi kepada lima tingkat lantai dan memiliki pelbagai jenis bilik dan dewan yang sesuai untuk semua acara.
Setiap tingkat turut mempunyai nilai dan keunikan tersendiri di mana pelbagai ciri kebudayaan Sabah khasnya ditonjolkan kepada pengunjung.
Pada majlis penganugerahan berlangsung semalam, Rosmawati turut dianugerahkan The BrandLaureate Leadership Award 2023.
Anugerah BrandLaureate ialah penganugerahan tahunan yang memberi penghormatan kepada jenama yang terus cemerlang dan berdedikasi dalam penjenamaan mereka termasuk ketika terpaksa berdepan masa sukar serta penuh cabaran kini.
Sementara itu, Rosmawati yang juga bekas Timbalan Pengarah Yayasan Sabah, berkata SICC bakal menampilkan kelainan sempena Ramadan tahun ini dengan memperkenalkan Menu Rahmah untuk menu berbuka puasa.
Katanya, Menu Rahmah itu akan ditawarkan bermula dari 31 Mac hingga 21 April.
“Inisiatif ini membolehkan mereka yang kurang berkemampuan dapat menikmati hidangan disediakan dengan bahan segar pada harga bermula RM5.
“Langkah ini sebagai usaha pihak SICC menyahut saranan Kerajaan Perpaduan dalam menyediakan hidangan mampu dinikmati oleh mereka kurang berkemampuan.
“Selain hidangan bufet Ramadan, kami juga menyediakan menu berharga RM5 supaya semua orang boleh menikmati hidangan berbuka puasa di SICC,” katanya. – BHarian