KOTA KINABALU: Parti Warisan menjelaskan ia tidak bersetuju dengan kerjasama dwi-partisan antara kerajaan dan Pakatan Harapan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) tahun lepas.\Menurut Naib Presiden Warisan, Terrence Siambun, parti itu menganggap menandatangani MoU itu sama dengan meletakkan perintah mengunci mulut pembangkang di parlimen dan menghapuskan peranan semak dan imbangnya terhadap kerajaan.
“Pada hakikatnya, menandatangani MoU melemahkan peranan pembangkang terutamanya apabila ahli parlimen parti yang telah menandatanganinya dengan pantas diberi peruntukan RM3 juta tidak seperti parti yang enggan menandatangani,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau menjawab tuduhan DAP bahawa Warisan “berpotensi mencetuskan pergeseran pelbagai penjuru dalam kalangan kem pembangkang” dan telah “mengkhianati sekutu setia mereka”.
“Sepanjang tempoh MoU ini terdapat perbelanjaan berlebihan di bawah bajet Covid-19, yang disokong PH, walaupun Malaysia banyak berhutang. Di sebalik perbelanjaan yang besar, hari ini rakyat terus menderita dari segi ekonomi akibat kesan wabak itu. Sehingga kini, masih terdapat ketidakstabilan politik yang semakin memuncak apabila pilihan raya semakin hampir. Adakah perlu menandatangani MoU itu?” tanya beliau.
“Tambahan pula, Warisan tidak pun dimaklumkan mengenai keputusan menandatangani MoU itu. Jika kami adalah sekutu, tidakkah kami harus diberitahu tentang perkara itu? Sebaliknya kami hanya mengetahuinya daripada media massa.
“Mengenai perkara pengkhianatan, izinkan saya mengingatkan ADUN Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon bahawa semasa kita sibuk memerangi Umno dan Bersatu dalam pilihan raya Sabah 2020, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim sibuk di Kuala Lumpur.
“Dia sibuk mengumpulkan Akuan Berkanun (SD) daripada Umno dan Bersatu dalam usahanya untuk mendapatkan majoriti bagi mendapatkan jawatan Perdana Menteri. Perkara ini akhirnya didedahkan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada Jun tahun ini apabila beliau mengakui bahawa SD untuk menyokong Anwar untuk Perdana Menteri adalah benar,” katanya.
DAP, katanya, menyedari sepenuhnya apa yang berlaku dan sentiasa menyokong Anwar dalam usahanya.
“Namun, Warisan didakwa mengkhianati sedangkan parti itu memberikan yang terbaik untuk memastikan kemenangan Warisan Plus ketika itu yang terdiri daripada Parti Warisan, Upko dan PH. Siapa yang mengkhianati siapa?
“Tidak pernah sekalipun Warisan tidak memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada sekutunya. Bukti nyata dalam hal ini ialah pilihan raya kecil Sandakan pada Mei 2019 apabila DAP menang dengan majoriti besar di kawasan-kawasan (daerah mengundi) yang tidak pernah dapat ditawan olehnya. Ketika Warisan datang membantu berkempen tanpa jemu, undi mencurah-curah untuk calon DAP Vivian Wong,” katanya.
Semasa PH menjadi kerajaan persekutuan, Siambun menegaskan bahawa Warisan telah berulang kali meminta peruntukan yang lebih besar kepada Sabah, khususnya pemberian khas tahunan dan 40 peratus hasil yang terhutang, seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Malangnya, walaupun bersekutu, permintaan itu tidak dipenuhi.
Dengan semua contoh kes ini, adakah menghairankan bahawa Warisan memutuskan untuk berpisah daripada PH? Perhubungan memerlukan kepercayaan sebagai asasnya agar ia berfungsi dan malangnya ia tidak wujud dalam kes ini.
“Satu-satunya bentuk gabungan atau pakatan yang dicari oleh Warisan adalah dengan rakyat Malaysia,” katanya.