KOTA KINABALU: Meskipun berada pada kedudukan yang terbaik untuk mengambil alih kepimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS) apabila Presiden parti Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili bersara dalam masa tiga tahun, Datuk Dr. Joachim Gunsalam memilih untuk tidak memikirkan tentang perkara tersebut.
“Saya tidak semestinya menjadi pengganti Dr. Maximus,” kata beliau yang menewaskan Datuk Joniston Bangkuai dalam pertandingan satu lawan satu untuk jawatan Timbalan Presiden parti bagi kuota biru (Bumiputera Bukan Islam) pada pemilihan parti Khamis.
“Ia boleh jadi sesiapa sahaja kerana terdapat dua lagi Timbalan Presiden pada masa ini,” tambahnya, merujuk kepada Datuk Jahid Jahim dan Datuk Dr Yee Moh Chai yang masing-masing mengekalkan Timbalan Presiden bagi kuota Bumiputera Islam dan Cina.
Katanya, jawatan presiden tiada warna, tidak ada biru (kuota bumiputera bukan Islam) atau merah (kuota Cina) mahupun kuning (kuota bumiputera Islam).
“Orang itu juga boleh datang daripada salah seorang Naib Presiden atau daripada kalangan Ahli-ahli Majlis Tertinggi yang baharu dilantik. Saya dapat lihat sebahagian daripada mereka sangat berkebolehan,” kata Timbalan Ketua Menteri Sabah itu seperti yang dilaporkan The Star.
Bagaimanapun, apabila ditanya lagi sama ada beliau bersedia untuk menerajui jawatan presiden sekiranya beliau dikehendaki berbuat demikian, Dr. Joachim menyatakan bahawa beliau akan melakukan yang terbaik untuk PBS.
“Bersedia atau tidak, saya akan melakukan apa yang saya boleh lakukan untuk parti kerana saya suka dan hidup untuk parti.
“Tetapi secara peribadi, saya akan mengatakan bahawa saya berharap kesihatan presiden boleh menjadi lebih baik kerana anda tidak pernah tahu apa yang boleh berlaku dalam tiga tahun.
“Kami akan cuba memujuknya untuk meneruskan kerana dia masih muda tetapi kehidupannya begitu,” katanya.
Dr, Joachim, 64, memperoleh 339 undi untuk menewaskan Joniston, bekas setiausaha agung PBS yang mengumpul 334 undi dalam pemilihan PBS yang berlangsung sehingga ke awal pagi Jumaat.
Timbalan Presiden bagi kuota Bumiputera Bukan Islam dilihat secara meluas sebagai pengganti Presiden parti berbilang kaum itu yang mendapat kekuatan daripada masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).
Mengulas mengenai kemenangan majoriti tipisnya, Dr. Joachim mengulangi bahawa pertandingan itu sentiasa menjadi “urusan keluarga”.
“Jika anda melihat keputusan, seperti yang saya lihat, kami berdua diperlukan dalam parti. Saya rasa kami berdua akan melakukan yang terbaik untuk membantu Presiden memperbaiki parti,” katanya.
Sementara itu, Joniston, 60, berkata, ia adalah keputusan yang boleh dikreditkan baginya walaupun menjadi ‘underdog’ dalam pertandingan itu.
“Ia dekat. Dan sentiasa ada peluang lain pada masa akan datang jadi, saya akan terus berjuang untuk parti.
“Ini kali pertama saya bertanding jawatan kanan dalam parti. Ia adalah satu penghormatan untuk mendapat peluang itu untuk dipilih sebagai Timbalan Presiden.
“Sebagai orang parti, saya setia pada parti. Saya sentiasa bersedia untuk membantu parti dalam apa jua kapasiti yang diberikan kepada saya,” kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah itu. – Warta Oriental