Siapa Sebenarnya Trojan Horse?, Tanya Loretto Kepada DAP Sabah

loretto-padua.jpg

Loretto Padua

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Menuduh Parti Warisan (Warisan) sebagai Trojan Horse yang bakal pecahkan undi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), DAP diingatkan untuk cermin diri sendiri.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S. Padua berkata, pemimpin DAP dan Pakatan Harapan (PH) perlu ingat apa yang mereka telah lakukan sebelum ini sehingga menghapuskan kepercayaan rakyat Sabah terhadap PH serta kerajaan WarisanPlus.

Semasa Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memegang jawatan Menteri Kewangan, beliau berdolak dalik untuk menunaikan tuntutan 21 Perkara termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Tuntutan ini sebenarnya merupakan inisiatif dan usaha gigih bekas Pengerusi Tetap Warisan, mendiang Liew Vui Keong di mana 17 daripada 21 isu ini telah dipersetujui manakala baki empat pula tertunda kerana Guan Eng berdolak-dalih mengenainya.

“Guan Eng sendiri mengumumkan kepada rakyat Sabah ketika Kongres DAP Sabah bahawa royalti minyak 20 peratus yang telah dijanjikan oleh PH dan pemberian hak cukai 40 peratus kepada Sabah tidak dapat dilaksanakan walhal perkara ini amat diperlukan oleh Datuk Seri Shafie ketika itu untuk membasmi kemiskinan dan kemunduran yang begitu teruk sekali di negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Akibatnya, bukankah yang menanggung beban kemarahan rakyat Sabah kerana janjji-janji PH tidak ditunaikan ialah Datuk Seri Shafie walaupun Warisan bukannya komponen dalam PH. Sudah pastinya Guan Eng yang tidak pernah memahami dan merasai kepayahan serta kemiskinan rakyat Sabah akan menepuk dan mengusap kepala Frankie Poon yang begitu pantas mempertahankan ‘bosnya’.

Loretto juga agak kagum dengan tindakan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon yang berusaha mempertahankan kenyataan Guan Eng yang berada beribu kilometer jauhnya dari Sabah.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin PH seperti Anwar Ibrahim dan Guan Eng yang sanggup membelakangi prinsip demokrasi pilihan raya serta penyokong-penyokong PH yang telah berarak dijalan raya ketika demonstrasi Bersih apabila mereka menandatangi MoU dengan kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri atas alasan-alasan untuk mengekalkan kestabilan politik, reformasi dan membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Warisan telah berulang kali mengingatkan bahawa MoU tersebut tidak perlu kerana blok pembangkang boleh melaksanakan tugas mereka dengan sempurna.

Akibat keangkuhan pemimpin-pemimpin PH sendiri yang tidak mahu mendengar nasihat Shafie yang amat faham dengan kelicikan dan permainan pemimpin-pemimpin Umno, maka kestabilan politik yang dicanang-canangkan oleh PH tidak menjadi malah menjadi lebih teruk lagi sehinggakan Umno yang kembali berkuasa kini memaksa agar pilihan raya diadakan ketika musim monsun.

Lebih teruk lagi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH Sabah yang telah diberi peluang oleh Shafie untuk berbakti kepada rakyat Sabah sebagai ahli-ahli Kabinet beria-ia pula untuk menandatangani MoU dengan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan kerjasama Umno yang merupakan dalang kepada percubaan menggulingkan Kerajaan WarisanPlus.

Di manakah maruah dan kredibiliti PH serta siapakah Trojan Horse yang sebenarnya di sini?.

Apabila Langkah Sheraton terjadi, Datuk Seri Shafie dan Warisan tidak bersekongkol sama ada dengan Umno mahupun Bersatu dan walaupun beliau cuba disogok dengan jawatan yang cukup penting oleh Pengerusi PN, Muhyiddin Yasin yang merupakan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Shafie kekal dengan prinsip dan integritinya demi untuk memastikan kredibiliti Warisan terjamin.

Warisan tidak akan berkompromi dengan perkara yang berkaitan dengan kredibiliti parti ini dan beliau minta Guan Eng untuk tidak berselindung dan berhenti mempergunakan orang Sabah untuk menjawab isu-isu yang dibangkitkan pemimpin-pemimpin Sabah yang lain. – Borneo Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top