Siapa Khianati Rakyat?, Tanya UPKO Pada PBS

IMG_20200827_204205.png
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Donald Peter Mojuntin (gambar) membidas kenyataan bekas Adun Kadamaian, Datuk Herbert Timbun Lagadan yang menuduh UPKO mengkhianati mandat rakyat.

Menafikan tuduhan itu, Donald menekankan bahawa keputusan UPKO untuk menubuhkan kerajaan baharu Sabah bersama-sama Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH) adalah disebabkan suara rakyat yang mahukan perubahan kerajaan.

Donald berkata kenyataan Datuk Herbert umpama meludah ke langit jatuh ke muka sendiri.

“Saya fikir dia (Herbert) tidak layak untuk mempersoalkan integriti dan keputusan UPKO. Sebaliknya, Herbert patut bertanya kepada kepimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“PBS mula menyertai BN ketika parti itu membentuk kerajaan negeri pada 1985 tetapi keluar untuk menyertai Angkatan Perpaduan Ummah yang disertai PAS dan Semangat 46 pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1990 sebelum kembali bergabung dengan BN pada 2002. Tetapi pada tahun 2018, PBS sekali lagi membuat keputusan untuk keluar daripada BN dan terkini PBS rujuk kembali bersama BN. Siapa sebenarnya mengkhianat rakyat?,” ujarnya.

Menurut Donald keputusan yang dibuat UPKO adalah  berdasarkan sentimen rakyat dan juga mempertahankan prinsip parti itu sendiri.

“Ini merupakan pendirian Majlis Tertinggi UPKO. Kita berjuang dan membuat keputusan secara kolektif kerana ini prinsip UPKO.

“Kerajaan tidak dapat dibentuk kerana tidak cukup kerusi. Kita dalam situasi hung parliament, BN hanya ada 29 kerusi, PH dan Warisan pula ada 29 kerusi juga. Star pada masa itu ada 2 kerusi. Jadi setelah berbincang dengan Majlis Tertinggi UPKO, kita buat keputusan untuk bersama-sama Warisan menubuhkan kerajaan,” katanya.

Jelas Donald, untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Sabah, Warisan dan PH memperolehi 57 peratus undi popular, manakala mengikut undian parlimen pula gabungan tersebut memperolehi 60 peratus undi.

“Berdasarkan data peratusan ini kita melihat bahawa rakyat mahukan perubahan dan kerajaan yang baharu.

“Pendirian ini berbeza dengan PBS yang masuk keluar masuk BN. Jadi saya mau tanya Herbert, siapa sebenarnya pengkhianat rakyat? – Borneo Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top