KOTA KINABALU: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) memuji inisiatif Lembaga Pembangunan Industry Pembinaan (CIDB) untuk memberikan vaksinasi kepada tenaga kerja pembinaan di Sabah menerusi Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac).
Presiden SHAREDA, Datuk Chua Soon Ping memuji usaha yang dilakukan itu dan menggalakkan pemain-pemain industri pembinaan di negeri ini, termasuklah kontraktor, pekerja tapak binaan, jurutera, arkitek, pemaju, pembekal dan profesional dalam industri ini untuk mendaftarkan semua tenaga kerja mereka untuk divaksin sebelum 18 Julai.
Untuk projek yang sedang berjalan katanya, pemaju atau kontraktor adalah digalakkan untuk mendaftarkan semua pekerja di tapak pembinaan mereka untuk program ini supaya mereka dapat menyambung semula kerja sebaik sahaja vaksinasi diberikan tertakluk kepada kelulusan dan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) oleh CIDB Malaysia.
“Kita gembira kerana kerajaan telah menyahut seruan kita untuk meningkatkan vaksinasi di Sabah,” kata Chua yang menyambut baik kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bahawa Sabah akan menerima 2.2 juta dos dalam dua bulan ini.
“Sabah mesti berusaha untuk mencapai pemberian 60,000 dos vaksin sehari untuk mencapai imuniti kelompok pada akhir tahun. Namun ini hanya mungkin berlaku apabila semua pihak seperti iKementerian Kesihatan, CiVac mendedikasikan sumber untuk beberapa bulan akan datang untuk mempercepat pelaksanaan program vaksinasi di negeri ini.
“SHAREDA menggalakkan para pemain industri pembinaan untuk menyebarluaskan tentang CIVac dan bertindak pantas untuk mendaftarkan untuk program ini sebelum tarikh yang dinyatakan berakhir,” kata Chua.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai CIVac boleh berhubung dengan pejabat CIDB yang terdekat.