Shahidan Tegur Najib: Jangan Asyik Hentam, Beri Komen Positif, Bantu Tarik Pelabur

shahidan-najib.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri  Shahidan Kassim menasihatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tidak menghentam kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya memberi komen positif yang dapat membantu menarik pelabur asing dan memulihkan ekonomi negara.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Najib hari ini yang hairan mengapa Umno dan Barisan Nasional (BN) masih berada dalam kerajaan PN yang dikritik gagal menguruskan ekonomi dan Covid-19 dengan baik sehingga wujud gerakan tanda pagar #kerajaangagal.

“Punca masalah ekonomi kalau semua bantai (hentam) kerajaan, pelabur takut nak masuklah. Kalau semua pihak beri pandangan positif, kerajaan akan dapat keyakinan pelabur.

“Saya minta Najib supaya beri pandangan positif kepada kerajaan dan ambil daya usaha tarik pelabur. Sudah pasti hubungan dia (Najib) baik dengan pelabur luar negara,” kata Shahidan yang juga ketua Umno Perlis selepas majlis berbuka puasa di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Terdahulu, Najib dilaporkan berkata, sejak Oktober tahun lalu, beliau memberi amaran kepada Umno yang ia akan turut dipersalahkan atas kegagalan memulihkan ekonomi, walaupun tiada seorang wakil Umno/BN terlibat secara langsung menguruskan hal berkaitan hala tuju kewangan dan ekonomi yang dikuasai Bersatu.

Shahidan yang juga pengerusi Majlis Ahli Parlimen PN (PNBBC), menolak sebarang usaha untuk BN meninggalkan kerajaan PN yang berusaha sedaya upaya memulihkan ekonomi negara ketika penularan Covid-19.

Beliau berkata, pertukaran kerajaan tidak akan dapat membantu memulihkan ekonomi negara, sebaliknya lebih banyak masa diperlukan untuk berbuat demikian.

“Saya tak setuju BN keluar PN. Umno kita ada 42 kerusi, kita ada 18 menteri dan timbalan menteri, bukan tidak ada langsung.

“Kalau jarakkan diri (daripada kerajaan PN) pun, itu jumlah kita pergi kepada PKR, DAP pun itu juga jumlah, tetapi memalukanlah, slogan kita ‘No Anwar, No DAP’.”

Katanya, langkah terbaik sekarang ialah Umno bekerjasama dengan Bersatu, PAS dan GPS.

“Kalau kita tak sokong kerajaan PN, kita nak sokong kerajaan apa lagi? PN berada dalam kedudukan (majoriti) tipis, kita sudah kata ‘No Anwar, No DAP’, mana lagi nak pergi?

“Jajaran baharu kena tanya orang Umno mereka terima atau tidak.”

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top