PETALING JAYA: Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menempelak pemimpin veteran Umno Tan Sri Shahrir Abd Samad yang sebelum ini mempersoalkan kedudukannya sebagai pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC).
Shahidan berkata, adalah menghairankan apabila pemimpin Umno itu mempersoalkan kedudukannya sebagai pengerusi PNBBC, namun tidak mempersoalkan kedudukan 20 pemimpin Umno yang menjawat tugas sebagai menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan PN.
“Jadi apa masalahnya? Dia sepatutnya berhati-hati sebelum bercakap. Bila dia bercakap, dia menunjukkan kelemahan ilmunya yang luar biasa. Dia bekas pengerusi BNBCC, bekas menteri, tetapi jahil ilmu.
“Kalau dia persoalkan saya, soal juga 20 orang menteri dan timbalan menteri Umno dalam PN, persoalkanlah. Saya bukannya ada gaji dalam PNBCC,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Shahrir mempersoalkan pelantikan Shahidan sebagai pengerusi PNBBC di sebalik kritikannya yang melabel mereka yang tidak menyokong Belanjawan 2021 sebagai “pengkhianat”.
Shahrir membangkitkan perkara itu sedangkan Shahidan merupakan wakil Barisan Nasional (BN) yang pada dasarnya tidak menyertai gabungan PN diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketika ditanya, apakah kedudukannya sebagai pengerusi PNBBC itu mendapat persetujuan BN dan Umno, Shahidan berkata, beliau enggan mengulas mengenai perkara itu.
“Bagi saya, orang yang persoalkan saya ini bukannya menteri dan timbalan menteri Umno, yang persoalkan adalah Shahrir. Siapa dia Shahrir? Bertanding di Johor Bahru juga kalah dan PKR menang,” katanya.
Shahidan merujuk kepada keputusan pilihan raya umum ke-14, apabila Shahrir gagal mempertahankan kerusi yang dimenanginya selama dua penggal di Parlimen Johor Bahru.
BN ketika ini dianggotai Umno bersama dua parti sekutu, iaitu MCA dan MIC. Umno menjalin kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN), yang dimeterai selepas keputusan pilihan raya umum ke-14.
Kerjasama itu menyaksikan BN memenangi beberapa pilihan raya kecil yang diadakan selepas itu secara berterusan.