Shahidan dan Ismail Guna Tiket PN Pertahan Arau, Maran

hadi-shahidan.jpg
Kongsi Bersama

MARANG: Penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang digugurkan oleh Barisan Nasional (BN) akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Shahidan yang juga Menteri Wilayah, diumumkan akan bertanding atas tiket PN bagi mempertahankan kerusi oleh Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Selain Shahidan, penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, yang turut digugurkan BN, turut diumumkan mewakili PN bertanding mempertahankan kerusi itu.

Shahidan ketika berucap selepas namanya diumumkan bertanding atas tiket PN di Parlimen Arau, berkata beliau memilih untuk bersama PN dibuat selepas nama ‘calon boleh menang’ yang dicadangkan kepada UMNO pusat tidak dipedulikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau mendakwa, Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk, bersikap tidak jujur dan menipu apabila mengubah namanya daripada bertanding tanpa mengikut keputusan Top-5.

“Nama saya sudah diserahkan kepada Top-5, tetapi Ahmad Zahid gagal mengikut keputusan dan penipu apabila mengubah senarai calon yang sudah diputuskan Top-5,” katanya pada Majlis Ceramah Perdana sempena Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU15, di Dewan Tok Guru, Rusila, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir adalah Naib Presiden PAS, Datuk Ser Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Pesuruhjaya PAS negeri, Senator Datuk Husain Awang dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Senator Datuk Razali Idris serta kira-kira 10,000 ahli PN daripada seluruh negeri.

Bagaimanapun, Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan tidak hadir pada majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata gerakan perpaduan ummah perlu dan akan terus dilaksanakan.

“Bagi memastikan kemenangan PN, kita akan gempur Parlimen Arau secara habis-habisan.

“Terima kasih kepada seluruh pimpinan PN termasuk Abdul Hadi kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk bertanding di Parlimen Arau,” katanya sambil berseloroh terpaksa bergegas pulang ke Arau untuk mengisi borang pencalonan selepas menerima watikah sebagai calon PN. – Bharian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top