Shahelmy masih ahli UMNO, bukan wakil rakyat bebas – Jeffery Nor

Jeffrey_Nor_Mohamed_2102.jpg

Jeffery Nor Mohamed

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed (gambar) tampil menjelaskan kekeliruan bahawa Ahli Parlimen Putatan Datuk Ir Shahelmey Yahya sebenarnya tidak digugurkan sebaliknya beliau kekal digantung keahlian dalam parti.

Menurutnya, penjelasan itu merujuk kepada kenyataan Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah baru-baru ini, bahawa beliau menerima secara terbuka mengenai keahliannya sebagai ahli UMNO telah digugurkan.

“Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas merasmikan Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik 4.0, secara jelas menunjukkan keahlian Shahelmy bukannya digugurkan tetapi digantung.

Shahelmey (Gambar fail)

“Ini bermaksud bahawa Datuk Shahelmy sebenarnya masih lagi ahli UMNO dan beliau bukannya wakil rakyat bebas. Saya selaku Ketua Bahagian UMNO Putatan juga boleh mengesahkan bahawa beliau masih lagi ahli UMNO Putatan kerana perkara berkaitan dengan keahlian UMNO di bahagian Putatan adalah tugas saya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan daripada itu, beliau turut mengingatkan bahawa Akta Anti Lompat Parti yang dibentangkan boleh diguna pakai untuk mengosongkan kerusi yang disandang.

“Sekiranya beliau menggunakan alasan ini sebagai maksud tersirat bahawa beliau akan berhijrah ke parti lain itu hak peribadi masing-masing.

“Tetapi suka saya ingatkan jika berbuat demikian, maka Akta Anti Lompat Parti yang telah dibentangkan di parlimen pada 28 Julai 2022 dan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 25 Mei 2023 adalah diguna pakai dan beliau harus mengosongkan kerusi parlimen dan juga DUN beliau.

“Saya dengan ini meminta penjelasan serta tunjuk bukti bahawa beliau digantung atau digugurkan daripada UMNO serta untuk menjelaskan pendirian beliau dan jangan berlengah dalam menyatakan pendirian sebenar beliau.

“Untuk menyatakan hasrat sokong sesiapa itu terpulang padanya, itu hak masing-masing tetapi proses perlembagaan dan proses Akta Anti Lompat Parti mesti ditegakkan,” katanya.

Sinar Harian pada 30 Julai lalu melaporkan Ahmad Zahid memaklumkan penggantungan keahlian UMNO yang dikenakan terhadap Shahelmey yang juga ADUN Tanjung Keramat dibuat secara dalaman. –SINAR HARIAN

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top