Shahelmey Seru Pembangkang Berhenti Politikkan Isu Covid-19 Di Sabah

shahelmey.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya menempelak tohmahan pembangkang berhubung dakwaan kerajaan lemah dalam menangani kes Covid-19 di Sabah.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin pembangkang seperti Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal dan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon, baru-baru ini, adalah bermain sentimen politik semata, tanpa mengambil kira fakta sebenar.

“Kenyataan media itu adalah lebih bersifat bermain sentimen politik tanpa kesudahan dalam keadaan negeri dan negara sedang mengharungi pandemik Covid-19.

”Kerajaan negeri sedang dan terus berusaha gigih bersama JKNS dan KKM dalam usaha memberi perkhidmatan yang baik untuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat,”katanya.

Shahelmey berkata demikian dalam satu kenyataan medianya pada Sabtu bagi menjawab dakwaan Shafie dan Frankie, serta beberapa lagi wakil rakyat pembangkang yang mempersoalkan komitmen kerajaan negeri menangani pandemik Covid-19.

Dalam kenyataan medianya, Shafie mendakwa kerajaan perlu bertanggungjawab atas peningkatan jangkitan Covid-19 di negeri ini, manakala Frankie yang merupakan bekas Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah pula menyalahkan kerajaan atas pelaksanaan dasar serta kelemahan yang berlaku.

Shahelmey dalam pada itu berkata, kerajaan negeri yakin bahawa menjelang awal September ini, jumlah penerima dos pertama bagi penduduk Sabah yang layak menerima vaksin akan mencapai 60 peratus dengan bererti sebelum hujung September, penerima dos kedua penduduk Sabah akan melebihi 60 peratus.

“Kerajaan negeri juga yakin bahawa dengan adanya tambahan vaksin CanSino untuk negeri Sabah, maka sasaran untuk mencapai lebih 80 peratus penduduk dewasa Sabah lengkap menerima vaksin boleh dicapai sebelum penghujung Oktober ini.

”Begitu juga kadar pengunaan katil di hospital-hospital adalah mencukupi walau pada kadar yang tinggi namun perancangan untuk mengatasinya telah disediakan oleh pihak JKNS dan KKM.

”Begitu juga dengan penggunaan ventilator yang masih dalam keadaan mencukupi,”katanya.

Mengulas lanjut berhubung kes harian Covid-19 negeri yang masih tinggi, Shahelmey menyeru rakyat negeri ini untuk sama-sama menjadi rakyat yang bertanggungjawab mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Ini kerana hasil dari saringan-saringan yang telah dibuat membuktikan bahawa virus Covid-19 ini memang sudah berada di dalam komuniti kita.

”Maka untuk mengawal kadar jangkitan semasa, sebaiknya laksanakanlah disiplin diri dengan tidak keluar rumah tanpa sebab munasabah sementara kita sedang gigih berusaha mencapai imunisasi kelompok,” katanya.

Sehubungan itu, Shahelmey meminta semua pihak termasuklah pemimpin-pemimpin pembangkang untuk turut memainkan peranan dalam usaha menjayakan program imunisasi.

 

”Berehatlah seketika daripada asyik menuding jari, kerana semasa Warisan dan sekutunya menjadi kerajaan negeri, situasi jangkitan Covid-19 pada tahun lalu adalah berlainan dari yang dihadapi sekarang.

”Justeru itu, adalah lebih baik untuk mereka bersama-sama memberi kerjasama dan cadangan yang menambahbaik untuk kebaikan rakyat di negeri ini dan bukannya bermain sentimen politik bagi meraih populariti sendiri,” ujarnya.

Terdahulu, dalam menjawab tuduhan isu ketiadaan vaksin, Shahelmey berkata, berdasarkan sambutan positif rakyat negeri ini untuk menerima vaksin, maka kadar pemberian vaksin telah ditingkatkan ke tahap optima lebih 50,000 dos sehari.

”Dengan berdepan situasi bekalan vaksin yang agak terhad buat seketika, kita masih dapat memberi vaksin sebanyak 53,655 dos pada Jumaat,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top