Shahelmey Sangkal Dakwaan Kerajaan Negeri Pasif Tangani Covid-19

shahelmy.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan  Negeri hari ini menyangkal dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang bahawa kerajaan pasif dalam tindakannya menangani masalah pandemik Covid-19 di Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir. Shahelmey Yahya berkata, Kerajaan telah mengerahkan sumber manusia yang ada untuk memaksimumkan kadar vaksinasi di negeri ini.

Katanya, langkah-langkah aktif termasuklah dari segi pengesanan, vaksinasi dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Kerajaan meminta agar rakyat terus mematuhi SOP yang dikuatkuasakan dan menangguhkan dahulu  sebarang majlis sosial.

“Seperti yang telah dimaklumkan, jangkitan COVID-19 telah menular dengan meluas dalam komuniti, menyebabkan setiap orang berisiko untuk menjangkiti dan dijangkiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau membidas kenyataan ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe dari DAP, yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan Sabah.

Shahelmey menjelaskan, sebanyak 3,376 kes dengan sebanyak  17 kematian dilaporkan berlaku pada Selasa (24 Ogos 2021).

“Sebanyak 2,076 kes (61.5%) berlaku dalam tempoh 1 hingga 6 hari dari tarikh sample diambil , manakala 1,300 kes (38.5%) adalah kes yang berlaku 7 hari atau lebih dari tarikh sample diambil.

“Faktor yang menyebabkan “backlog” ialah apabila kes meningkat, maka lebih banyak aktiviti pengesanan kes yang bergejala dilakukan dan dikesan, begitu juga untuk kontak rapat kepada kes.

“Keadaan ini meningkatkan beban ujian  di makmal, meskipun langkah penambahbaikan telah dilakukan seperti outsourcing, meningkatkan jumlah anggota yang menjalankan ujian, memanjangkan waktu bertugas anggota di makmal sehingga 12 tengah malam, dan meningkatkan keupayaan ujian secara teknikal,” tegasnya.

Shahelmey turut memaklumkan bahawa Sabah telah mula menerima agihan vaksin CanSino.

Katanya, semalam (24 Ogos 2021) Sabah menerima batch pertama vaksin CanSino sebanyak 53,000 dos dan akan menerima lagi pada batch seterusnya pada bulan Ogos ini.

Menurutnya, jumlah individu yang divaksinasi untuk Sabah terus meningkat,  dimana pada 23 Ogos, Sabah telah mencatatkan seramai 1,469,376 telah menerima satu dos vaksin dan seramai 866,228 orang telah menerima 2 dos lengkap.

“Kadar vaksinasi Sabah orang dewasa (18 tahun dan lebih) yang telah divaksinasi telah mencapai 53.3% dan 31.4% daripada mereka telah menerima 2 dos lengkap,” jelasnya.

Shahelmey berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kerajaan Negeri Sabah telah dan akan terus meningkatkan kadar vaksinasi, dengan mempergiatkan aktiviti vaksinasi “Outreach” di kawasan pendalaman dan sukar dicapai, disamping terus membuka semua Pusat Penerima Vaksin (PPV) untuk “walk-in” bagi memberi peluang semua penduduk Sabah menerima vaksin.

 

 

“Saya menyeru semua penduduk Sabah mengambil vaksin COVID-19 ini, bagi menyelamatkan nyawa mereka serta keluarga.

“Berdasarkan data dari JKNS, didapati 80-90% pesakit yang dimasukkan ke ICU adalah pesakit yang tidak divaksinasi.

“Pada masa ini, jangkitan COVID-19 telah pun berleluasa di dalam komuniti, semua orang berisiko untuk menjangkiti dan dijangkiti.

“Kini, tindakan pencegahan di peringkat individu adalah kunci utama menghalang penyebaran virus ini.

“Pematuhan SOP, iaitu sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam dan terbuka, mengamalkan penjarakan fizikal 1 meter, tidak bersentuhan dan kerap mencuci tangan mesti dilakukan di mana pun mereka berada,” katanya.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top