KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan membarisi dua jawatan tertinggi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bagi sesi 2023 – 2027 pada pemilihan badan induk bola sepak negeri itu, semalam.
Shahelmey menang tanpa bertanding jawatan Presiden SAFA, manakala Khairul Firdaus bersama seorang lagi calon, Datuk Awang Kadin Tang menang tanpa bertanding dua tempat jawatan Timbalan Presiden SAFA.
Sebelum ini, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah diamanahkan sebagai menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal SAFA berikutan peletakan penyandang presiden, Datuk Seri Bung Moktar Radin susulan kemelut politik Sabah pada Januari lalu.
Sementara itu, pemilihan empat Naib Presiden SAFA menyaksikan lima calon bersaing merebut jawatan berkenaan, manakala 13 calon Ahli Majlis Tertinggi merebut lapan tempat yang disediakan.
Empat Naib Presiden baharu SAFA yang menang pada pemilihan kali ini ialah bekas Presiden SAFA pada 2018, Alijus Sipil; diikuti Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan; Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ruddy Awah dan Pengerusi Keningau FA, Rafie Robert.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Alijus yang mewakili presiden baharu SAFA, berkata kongres dan pemilihan SAFA yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) berjalan lancar.
“Tidak banyak isu yang timbul dalam pemilihan kali ini dan kita akan kemukakan laporan perjalanan mesyuarat ini kepada Pesuruhjaya Sukan Sabah,” katanya.
Beliau berkata, dua lagi jawatan iaitu Setiausaha dan Bendahari Agong akan dilantik oleh Presiden yang akan diumumkan selepas mesyuarat eksekutif SAFA yang pertama di bawah kepemimpinan baharu.
“Kita berharap untuk meneruskam apa juga yang baik dilaksanakan oleh kepemimpinan terdahulu dan kami juga akan berusaha meningkatkan mana kekurangan dan memperbaiki urus tabir SAFA.
“Semua ini demi kemajuan bola sepak Sabah, bukan ada kepentingan untuk diri sendiri,” katanya. – HMetro