KOTA KINABALU: Pengguna di negeri ini digesa supaya tidak berdiam diri sebaliknya segera membuat laporan jika berdepan caj tidak sepatutnya terutama bagi barangan keperluan harian, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Shahelmey Yahya.
Beliau berkata laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah penting dalam usaha memantau harga barang di negeri ini supaya ia tidak terlalu membebankan pengguna.
Katanya pemantauan itu turut dilaksanakan menerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi memastikan tiada kenaikkan harga berlebihan atau caj tidak sepatutnya seperti caj 30 sen untuk kotak penutup telur ayam di Sabah yang tular di media sosial baru-baru ini.
“KPDNHEP memang memantau pergerakan harga barang dari semasa ke semasa yang disebabkan oleh inflasi, selain harga siling barang-barang kawalan termasuk ayam, telur ayam dan minyak masak,” katanya kepada Bernama pada Khamis.
Terdahulu beliau merasmikan Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tansau di sini.
Shahelmey berkata KPDNHEP Sabah juga memantau kenaikan harga barangan secara berlebihan oleh peniaga melalui akta yang sedia ada antaranya Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.
Pada 29 Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa bertujuan membantu rakyat menghadapi cabaran ekoran peningkatan kos sara hidup.