KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa supaya melihat semula kesesuaian polisi bersasar harga petrol dan diesel di Sabah.
Ahli Parlimen Putatan Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata ini kerana kenderaan jenis pacuan empat roda merupakan keperluan bagi penduduk negeri Sabah disebabkan permukaan muka bumi yang berbukit bukau serta keadaan jalan raya yang masih banyak dalam keadaan kurang baik.
“Kenderaan pacuan empat roda diperlukan bagi pergerakan rakyat Sabah, di mana ia digunakan untuk mengangkut hasil komoditi, pertanian, barangan keperluan harian serta sebagai kenderaan harian untuk menghantar anak-anak ke sekolah dan berkerja terutama sekali di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah,” katanya.
Beliau yang juga menteri kerja raya Sabah berkata demikian pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat kelmarin.
Dalam hal ini, beliau berkata kerajaan wajar mengambil kira, bahawa sebarang kenaikan harga diesel dan petrol akan sekaligus menambah kenaikan kos sara hidup rakyat di Sabah.
“Maka atas alasan untuk mengawal kenaikan kos sara hidup di Sabah, saya menyeru agar polisi bersasar harga petrol dan diesel di Sabah dilihat semula kesesuaiannya mengikut keadaan di negeri ini,” katanya.
Berita asal: Jesselton Times