KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Ir Shahelmey Yahya dilantik sebagai Pengarah Program Imunisasi Sabah bagi merancang dan melaksanakan pemberian vaksin dalam kadar lebih pantas serta efisien di negeri itu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata Shahelmey akan berperanan membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mencapai sasaran peratusan penduduk lengkap divaksin seperti ditetapkan.
Masidi berkata Shahelmey yang juga Exco Kesihatan Sabah akan mengawasi dan melakukan penyelarasan dengan Kementerian Kesihatan berkaitan kemudahan dan keperluan mendadak di hospital-hospital di negeri itu yang diperlukan dari semasa ke semasa.
“Beliau juga akan mengeluarkan kenyataan akhbar dari semasa ke semasa atau bila-bila diperlukan bagi memaklumkan perkembangan terbaru Program Imunisasi Negeri Sabah serta maklumat-maklumat lain yang perlu diketahui orang ramai,” katanya dalam kenyataan di sini.