PETALING JAYA: Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri altenatif akan memberi implikasi kurang baik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata kumpulan penyokong presiden PKR itu.
Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, kenyataan Guan Eng juga meletakkan Anwar dan PKR dalam keadaan terdesak serta tertekan, termasuk memastikan kemenangan 7 calon PKR dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah.
“Shafie memperuntukan hanya 7 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun Anwar merundingkan 14 kerusi dengan mengunakan logo parti itu sendiri.
“Dalam situasi ini Anwar dan PKR akan berasa terdesak bagi memastikan ke tujuh-tujuh calonnya menang kerusi yang ditandingi,” katanya kepada FMT.
Katanya, kekalahan calon PKR di Sabah juga akan memberi isyarat bahawa parti itu gagal meraih sokongan rakyat, sekali gus mengiyakan hujah Guan Eng dalam menamakan Shafie sebagai calon perdana menteri alternatif jika Anwar gagal mendapat sokongan.
“Sekiranya Warisan pula menang bergaya dalam PRN ini, maka Anwar terpaksa akur atau berkompromi untuk beri laluan kepada Shafie sebagai calon perdana menteri ke-9,” katanya.
Razak berkata, Anwar dan PKR tidak mempunyai jalan lain selain memastikan semua 7 calonnya menang bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa parti itu kekal relevan, termasuk layak diangkat sebagai perdana menteri, sekali gus menepis pandangan Guan Eng.
“Anwar dan PKR kena kempen habis-habisan untuk pastikan 7 calonnya menang untuk pastikan ia masih relevan dalam senario politik Sabah khususnya.
“Kemenangan akan secara langsung mematahkan pandangan Guan Eng tentang kredibiliti Anwar untuk menjadi perdana menteri mengatasi Shafie,” katanya.
Razak bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Shafie berdepan laluan sukar untuk diangkat sebagai perdana menteri walaupun Warisan menang di Sabah kerana beliau juga perlu mendapat sokongan daripada semua wakil rakyat PKR.
“Jalan agak sukar untuk Shafie kerana PKR dengan 32 kerusi Parlimen sedia ada akan terus menaruh harapan Anwar akan kekal sebagai calon perdana menteri.
Razak juga menyifatkan kenyataan Guan Eng mencadangkan nama Shafie sebagai strategi untuk memenangi pilihan raya negeri Sabah memandangkan DAP bertanding menggunakan lambang Warisan.
”Semua 7 calon DAP guna logo Warisan dalam PRN ini dan sokongan rakyat Sabah kuat kepada Shafie dan Warisan boleh kembali berkuasa.
“Sokongan Guan Eng untuk Shafie jadi perdana menteri ada kaitan dengan usaha untuk memujuk rakyat Sabah supaya memastikan Warisan kekal memerintah,” katanya.
Guan Eng sebelum ini mengulangi sokongan kepada Anwar dan Shafie sebagai calon perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.
Dalam wawancara bersama FMT beliau berkata, presiden PKR dan Warisan itu tetap menjadi pilihannya untuk jawatan tertinggi kerajaan.
“Kami menyokong Anwar untuk mendapat jumlah (sokongan) itu, tetapi jika beliau tidak mampu, kami perlu memberi Shafie peluang dan penghormatan sewajarnya sebagai PM pertama dari Malaysia Timur,” katanya.
Kenyataan Guan Eng itu menimbulkan rasa tidak puas hari pemimpin PKR sehingga menimbulkan desakan supaya PH dibubarkan. – FMT