Shafie persoal peruntukan sebanyak RM44 juta TSKN Sabah

shafie.jpg

Shafie menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dalam majlis berkenaan.

TAWAU: Presiden Parti WARISAN, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mempersoal peruntukan tahunan sebanyak RM44 juta yang diberikan kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN).

Shafie berkata, tiada kepentingan untuk kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak itu kepada TSKN Sabah.

“Saya bertanya kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, tahun lepas RM44 juta, tahun ini juga RM44 juta telah diberikan kepada TSKN Sabah dalam belanjawan Sabah.

“Hampir RM80 juta telah dibelanjakan dalam dua tahun. Ke mana perginya wang itu? Apa tujuannya?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Presiden WARISAN, di Masjid Muhajirin, Kampung Inderasabah, di sini semalam.

Sementara itu, Shafie turut menolak dakwaan kenyataan Hajiji yang mengatakan penamatan kontrak konsesi air menyebabkan kerugian kewangan Sabah dan masalah air yang dihadapi ketika ini.

Beliau menegaskan bahawa masalah bekalan air ini memang sudah wujud lama sebelum WARISAN mengambil alih kuasa lagi.

“Konsesi yang dilantik itu gagal menyelesaikan masalah ini. Setiap tahun kita belanjakan duit kepada konsultan dan pungutan yang kita perolehi tidak setimpal dengan perbelanjaan yang dikeluarkan.

“Kita mahukan konsesi yang dilantik bukan hanya memberikan perkhidmatan tetapi turut membekalkan air yang secukupnya,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan keputusan WARISAN menamatkan kontrak itu bertujuan menutup kebocoran kewangan, sama seperti langkah yang diambil oleh Perdana Menteri di peringkat Persekutuan.

“Jika Perdana Menteri mengambil tindakan terhadap kebocoran kewangan, kenapa kita tidak boleh lakukan perkara yang sama? Kita tamatkan kontrak kerana ia tidak menyelesaikan masalah,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top