KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri Sabah semalam diberitahu bahawa Parti Warisan tidak menyebabkan sebarang kelewatan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah semasa menerajui kerajaan negeri.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senalang) yang memetik Laporan Audit 2019, berkata Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk menamatkan perjanjian dengan rakan penyampai projek (PDP) untuk Sabah pada September tahun itu, dan untuk Sarawak pada tahun berikutnya.
“Bukan kerajaan Sabah atau Sarawak yang menamatkan perjanjian itu. Ia adalah keputusan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Menurut beliau menteri kewangan ketika itu (Lim Guan Eng) telah berkata bahawa 5.5 peratus daripada RM12 bilion, iaitu hampir RM700 juta perlu dibayar kepada PDP.
“Sebab itu saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan (persekutuan) ketika itu memutuskan bahawa kaedah terbaik adalah menamatkan perjanjian antara kerajaan persekutuan dan PDP,” katanya dalam ucapan perbahasannya pada persidangan DUN di sini.
Beliau menjawab soalan Datuk Annuar Ayub (GRS-Liawan) yang menegaskan Shafie yang merupakan ketua menteri dari Mei 2018 hingga September 2020 adalah ketua menteri semasa pertukaran PDP yang menyebabkan kelewatan itu.