Shafie Minta Kerajaan Pertimbang Semula Bina CIQS Serudong

Shafie-CNY.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diminta untuk mempertimbangkan semula keperluan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Serudong, Kalabakan di Tawau.

Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, rancangan pembinaan CIQS Serudong itu telah dikenal pasti di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) namun, pembinaannya ditangguhkan.

Ahli Parlimen Semporna itu berharap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melihat semula keperluan mewujudkan CIQS Serudong.

“Tawau begitu hampir dengan utara Kalimantan dan CIQS Tawau itu telah dikenal pasti beberapa tahun lalu di bawah pemerintahan PH.

“Jadi perlu dilihat semula keperluan mewujudkan CIQS itu bagi membolehkan supaya hubungan erat dapat dilahirkan antara Kalimantan Utara dan juga rakyat Malaysia di utara Sabah,” katanya semasa majlis sambutan Tahun Baharu Cina Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong di Tanjung Aru pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Perdana Menteri untuk menaik taraf prasarana CIQS di sempadan Sabah dan Sarawak.

Langkah itu dilakukan susulan perbincangan Anwar bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo baru-baru ini mengenai perpindahan ibu kota Indonesia ke Nusantara, Kalimantan.

Mengulas lanjut katanya, semasa pemerintahan Warisan di Sabah, beliau juga telah mengadakan lawatan ke Kalimantan untuk melihat bagaimana hubungan Sabah dan Indonesia dapat dieratkan.

Mohd Shafie berkata, pembinaan ICQS di Sabah perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi membolehkan hubungan rakyat di Sabah dan Kalimantan dapat dipertingkatkan.

“Bukan hanya melihat dari sudut politik bahkan, hubungan masyarakat antara kedua-dua negara juga perlu dilihat.

“Malah, jika dilihat dalam sektor perladangan yang ada di negara ini, kita memerlukan tenaga buruh dari Indonesia jadi, kita perlu meneliti secara serius hubungan ini, bukan setakat pembinaan CIQS sahaja,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Anwar mengumumkan kelulusan awal berjumlah RM1 bilion untuk memulakan kerja-kerja menaik taraf prasarana dan keupayaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sarawak dan Sabah.

Jelas beliau, peruntukan tambahan itu bagi meningkatkan keupayaan CIQS dari segi keselamatan dan prasarana asas seperti jalan raya. – BORNEO TODAY

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top