Shafie Minta Anifah, Yong Berhenti Keluar Kenyataan Mengelirukan Berhubung Tuntutan Waris Sultan Sulu

shafie-anifah-yong.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal meminta bekas Menteri Luar dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berhenti mengeluarkan kenyataan mengelirukan dengan mengaitkannya dengan tuntutan waris Sultan Sulu.

Beliau berkata, Datuk Seri Anifah Aman dan Datuk Seri Yong Teck Lee tidak layak memberi pandangan mengenai tuntutan ini.

Katanya, sekiranya mereka tidak faham isu perundangan yang berkaitan isu tuntutan ini, mereka tidak seharusnya membuat kenyataan akhbar dengan maklumat yang tidak sahih.

Malah, kedua-dua pemimpin itu sering kali membuat serangan peribadi dengan mendakwa Mohd Shafie turut berada di Sepanyol pada 2019 dan terlibat dalam tuntutan waris Sultan Sulu tersebut.

“Untuk pengetahuan, saya tidak pernah ke Sepanyol dan sepanjang pengetahuan saya, tiada pegawai daripada Sabah dihantar ke Sepanyol bagi kes ini. Saya percaya Wisma Putra dan Jabatan Peguam Negara telah mengendalikan kes ini dan menghentikan tuntutan waris Sultan Sulu menerusi penghakiman di Madrid.

“Mereka (Anifah dan Yong) perlu membaca penjelasan daripada Wisma Putra dan Jabatan Peguam Negara pada 2 Mac dan penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 10 Mac lalu mengenai keputusan Mahkamah Paris.

“Ini jelas menunjukkan isu ini diuruskan oleh Kerajaan Persekutuan dan bukannya Sabah dan langsung tidak melibatkan saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, Warisan kekal dengan pendirian bahawa isu tuntutan waris Sultan Sulu terhadap Sabah harus menjadi keutamaan untuk diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, Filipina mahupun waris Sultan Sulu tidak mempunyai hak dari sudut perundangan untuk membuat tuntutan terhadap Sabah.

Maka, apa juga dakwaan oleh Manila mahupun waris Sultan Sulu tidak harus dilayan kerana Sabah adalah wilayah yang berdaulat dan menjadi sebahagian daripada Malaysia seperti diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Saya percaya di bawah Persekutuan Malaysia, isu berkaitan tuntutan sebegini harus diselesaikan oleh Putrajaya dan Wisma Putra.

“Sudah berulang kali saya menyatakan Malaysia perlu mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu ini dan bukannya membiarkan isu ini tergantung begitu sahaja.

“Keputusan Mahkamah Timbang Tara Paris mengenai bayaran pampasan RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu merupakan sesuatu yang mengejutkan,” ujarnya.

Mohd Shafie berkata, berdasarkan penjelasan Wisma Putra dan Jabatan Peguam Negara bahawa Malaysia sudah menghentikan tuntutan yang dibuat waris Sultan Sulu di Sepanyol.

Namun, kes ini telah dibawa ke Perancis oleh penimbang tara Ganzalo Stampa dan keputusan dibuat di Mahkamah Paris pada Februari lalu.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Malaysia akan mencabar keputusan Mahkamah Paris.

Jelasnya, Anifah tahu kerajaan Filipina tidak mengiktiraf Sultan Sulu malah, menggelar mereka sebagai pengganas dan penjenayah semasa pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.

“Tiada kerajaan akan mengiktiraf mereka dan tuntutkan mereka terhadap Sabah juga tidak munasabah.

“Isu ini tidak seharusnya dipolitikkan dan sebagai rakyat Sabah, kita seharusnya bersatu bagi melindungi kedaulatan negeri ini,” ujarnya. – Borneo Today

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top