Shafie Masih Enggan Mengaku Kalah…

Shafie-Apdal.jpg
Kongsi Bersama

Presiden Warisan, DS Mohd Shafie Apdal, yang kerajaannya tumbang malam tadi nampaknya masih enggan mengaku kalah.

Dia cuba berselindung di sebalik telunjuk dengan mendabik dada bahawa ‘Warisan merupakan pemenang terbesar’ dalam PRN Sabah.

Ada sebuah portal berita yang diketahui penyokong totok Warisan Plus pula berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak boleh membentuk kerajaan kerana ia bukan pertubuhan berdaftar.

Demikianlah jadinya bila orang lemas. Selipar buruk pun akan dijadikan tempat bergayut.

Memenangi kerusi terbanyak bukan jaminan boleh membentuk kerajaan melainkan ia memperoleh majoriti mudah. UMNO merupakan pemenang kerusi terbanyak dalam PRU 14 dengan memperoleh 54 kerusi, tapi ia tak boleh membentuk kerajaan. PKR (47 kerusi), DAP (42) kerusi pun tak boleh bentuk kerajaan juga. Tak cukup syarat. Tak capai majoriti mudah.

Jadi ayat memenangi kerusi terbanyak itu sesuai untuk menyedapkan hati sendiri sahaja. Atau dibuat modal berborak di bawah pokok di Semporna dan sekitarnya.

Untuk membentuk kerajaan GRS tak perlu berdaftar. Yang penting ada persefahaman sesama parti gabungannya. Pakatan Harapan dahulu pun ketika membentuk kerajaan selepas menang PRU 14 bukannya pertubuhan berdaftar. Pendaftarannya hanya lulus pada 16 Mei 2018, enam hari selepas kerajaan dibentuk.

Perikatan Nasional (PN) juga, semasa mengambil alih negara ini daripada PH, bukannya berdaftar. Pendaftarannya baru sahaja dibuat Ogos lalu.

Shafie tidak perlulah berasa partinya yang kalah itu sudah cukup besar. Hakikatnya Warisan cuma menang 23 kerusi, atau 50 peratus daripada 46 kerusi yang ditandinginya. Bagi sebuah parti yang menerajui kerajaan negeri, kemenangan seperti itu boleh dianggap kecil. Memanglah ada sedikit peningkatan sebab pada PRU lalu Warisan hanya menang 21 kerusi, tetapi jangan lupa kali ini kerusi yang dipertandingkan bukan 60, sebaliknya 73.

Saya berpendapat, Shafie tidak perlulah membuang masa memikirkan apa yang telah hilang. Fokus pada peranan yang bakal dipikulnya sebagai ketua pembangkang. Sambil itu, fokuskan strategi untuk mengejar jawatan perdana menteri ke-9…

 

Oleh: Tulus Budiman

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top