Shafie Kata Warisan Tidak Goyah Dengan Tindakan Rina Keluar Parti

shafie-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA BELUD: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal tidak melihat tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal keluar parti menggugat kedudukan Warisan.

Beliau berkata, Warisan di bahagian Kalabakan masih kekal kukuh biarpun pelbagai tekanan diterima untuk melemahkan parti itu.

“Saya difahamkan dia sudah sign (tandatangan), saya tidak tahu apa dokumen. Tidak tahu berapa dia dapat, tidak boleh dielak,” katanya semasa mengulas tindakan ADUN Kukusan keluar Warisan.

Walau bagaimanapun, Rina akan turut dikenakan tindakan undang-undang yang sama dengan ADUN Warisan lain yang keluar daripada parti sebelum ini.

Menurut beliau, sebahagian ADUN Warisan yang bertindak keluar parti sebelum ini telah diheret ke mahkamah kerana perjanjian yang mereka tandatangani semasa menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Katanya lagi, kepimpinan parti banyak membantu Rina untuk memenangi kerusi DUN tersebut.

“Kita lihat pilihan raya semakin hampir dan saya yakin rakyat tahu. Dia pun menang 10 undi sahaja. Dia tahu kita bertungkus lumus membantunya dan Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman sanggup korban, tumbangkan kakaknya yang bertanding melawan Rina.

“Dalam perjuangan Warisan cukup banyak sejarah dan pengorbanan semata-mata ingin membawa perubahan di negara kita. Kalau kita hanya berlandsakan pendekatan yang sama daripada dahulu sampai sekarang, saya yakin Malaysia tidak akan dapat dilonjakkan.

“Di negara Indonesia, perubahan kepimpinan yang berlaku membolehkan mereka menjadi negara contoh di rantau Asia, takkan kita tak boleh. Ini membabitkan persoalan tentang kepimpinan,” katanya.

Mohd Shafie berkata, sudah sampai masa dan ketikanya, rakyat di negara ini perlu sedar dan melakukan perubahan drastik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya yakin perubahan drastik yang berlaku mampu meletakkan negara Malaysia pada landasan yang betul dengan sistem reform yang ada,” katanya.

Hari ini, Rina, yang juga Naib Ketua Wirawati Warisan itu mengumumkan meletak semua jawatan di dalam parti bagi meneruskan perjuangan politiknya di bawah Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) iaitu parti yang mesra kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

PHRS yang diasaskan oleh Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin kini dipimpin oleh Presiden, Tan Sri Liew Yun Fah.

 

Sumber: Borneo Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top