KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menjunjung kasih keputusan Seri Paduka untuk tidak memperkenan pelaksanaan darurat seperti yang dicadangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kini tiba masanya untuk semua pemimpin bekerjasama memastikan negara dapat mendepani cabaran Covid-18.
Katanya, Warisan kekal dengan pendirian bahawa keruntuhan ekonomi domestik hanya dapat diatasi jika semua pemimpin menolak fahaman politik, agama dan bangsa masing-masing untuk berpadu mencari jalan penyelesaian demi negara yang tercinta ini.
“Patik merafak sembah menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah atas titah Seri Paduka yang tidak memperkenan pelaksanaan darurat di negara ini.
“Sesungguhnya, patik menjunjung tinggi kearifan dan kebijaksanaan Seri Paduka bersama Raja-Raja Melayu dalam memerintah negeri dan negara ini demi kemakmuran sekalian rakyatnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd. Shafie berkata, dalam keadaan ekonomi yang terjejas, komuniti perniagaan juga perlu dilibatkan sama dalam usaha kerajaan mencari jalan penyelesaian krisis.
“Dalam berdepan pandemik Covid-19, komuniti perniagaan turut antara yang terjejas teruk, malah terpaksa menanggung kerugian tinggi kerana perniagaan terjejas.
“Justeru, Warisan turut menyeru komuniti perniagaan ini tampil bekerjasama bersama kerajaan untuk memastikan satu langkah mutlak dapat diambil demi kebaikan bersama.
Komuniti perniagaan sudah tentu mempunyai idea dan cadangan yang boleh diutarakan kepada kerajaan tentang bagaimana masalah yang timbul dapat diatasi,” jelas beliau.
Mohd. Shafie menegaskan, setiap menteri dan wakil rakyat juga perlu berkorban ketika ini dengan memberikan sumbangan kepada usaha-usaha untuk menghadapi tempoh yang sangat mencabar ini.
“Akhir sekali, Warisan menghargai setiap sumbangan rakyat Malaysia dalam mematuhi arahan kerajaan sejak pandemik Covid-19 melanda.
“Teruskanlah sokongan saudara-saudari dalam memberi sokongan kepada setiap arahan atau SOP yang dikeluarkan pihak berkuasa, insya Allah kita pasti dapat menempuh dan mengatasi cabaran ini,” tambahnya. – BORNEO TODAY