Shafie Gesa Putrajaya Beri Peruntukan Tambahan RM5 Bilion Kekang Covid-19

shafie-.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan perlu memberi peruntukan tambahan sekurang-kurangnya RM5 bilion untuk mengekang Covid-19 daripada terus menular.

Bekas ketua menteri Sabah itu berkata, peruntukan itu termasuk memperluaskan ujian saringan pengesanan kontak, selain pemantauan serta program pemvaksinan ke tahap diperlukan demi menyelamatkan ekonomi.

“Satu-satunya cara untuk menyelamatkan ekonomi ialah membendung Covid-19 dan satu-satunya cara untuk melakukan ini ialah dengan langkah saringan dan jejak (pengesanan kontak) yang komprehensif, sebelum melakukan pemvaksinan secara komprehensif juga.

“Kita tidak boleh terlalu berjimat dalam dua hal ini,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, kadar kes positif Covid-19 kekal tinggi pada tahap 6%, walaupun ianya sedikit rendah berbanding 9% pada awal tahun ini.

Katanya, kadar positif tinggi itu isyarat risiko banyak lagi kes positif tidak ditemui akibat kekurangan ujian saringan.

“WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) menyarankan kadar bawah 5% untuk satu jangka masa berterusan sebagai petunjuk wabak sedang terkawal dan oleh itu lebih banyak usaha perlu dilakukan.

“Tambahan pula, untuk memulihkan aktiviti ekonomi, kita perlu menyasarkan kadar ujian positif lebih rendah sebagai contoh Korea Selatan yang bergelut dengan gelombang ketiga pada masa sama dengan kita, kini mempunyai kadar positif di bawah 1%, iaitu lebih rendah berbanding kadar tertinggi 3.5% sebelum ini.

“Bagi mencapai tahap sama, kita perlu menyasarkan sekurang-kurangnya 360,000 orang disaring setiap hari berbanding 64,000 hari ini dan dengan mengekalkan tahap saringan sedemikian untuk tempoh 60 hari, ianya menelan belanja tambahan RM2.5 bilion sedangkan Belanjawan 2021 hanya memperuntukkan tambahan RM475 juta untuk ujian saringan.”

Selain menambah ujian saringan, katanya, kapasiti pengesanan kontak, pemantauan serta penambahan petugas barisan hadapan juga perlu dilaksanakan.

“Penularan di bandar Daegu, Korea Selatan, dengan populasi 2.4 juta orang berjaya dibendung selepas 2,400 petugas kesihatan tambahan dilantik dan jika diterjemahkan ke Malaysia, ini bermakna kita perlu melantik 33,000 petugas tambahan.

“Sebagai perbandingan, pakej PERMAI menyebut lantikan tambahan seramai 3,500 orang saja; kurang hampir sepuluh kali ganda.”

Shafie berkata, langkah pemvaksinan yang pantas dan komprehensif sangat penting.

“Meski ada kenyataan-kenyataan yang agak meyakinkan, masih wujud keraguan tentang kecukupan dana dan terutamanya rancangan pemvaksinan.

“Pertimbangan kewangan tidak seharusnya menjadi faktor dan kerajaan perlu menjelaskan ia tidak akan terlalu berjimat dalam melaksanakan pemvaksinan yang komprehensif dan pantas.

“Fakta mudahnya ialah ekonomi tidak akan pulih sehinggalah wabak ini benar-benar terkawal dan oleh itu, mengimbangkan antara nyawa dengan mata pencarian atau mengisyaratkan hemat fiskal pada saat ini adalah pelanggaran terhadap tanggungjawab fidusiari kerajaan.”

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top