KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menggesa kerajaan mengambil serius mengenai dakwaan sekumpulan anggota keselamatan yang difahamkan terlibat dalam menculik, merompak dan mengugut seorang pengusaha rumpai laut di Semporna baru-baru ini.
Bekas Ketua Menteri itu berkata, berita yang diterima itu amat mengejutkan apatah lagi, apabila ia dikatakan membabitkan anggota keselamatan.
Beliau berkata, kejadian itu difahamkan berlaku di perairan Semporna dan mangsa merupakan pengusaha rumpai laut yang sedang dalam perjalanan untuk menjual hasil laut berdekatan Pulau Siamil.
“Sekiranya benar apa yang dilaporkan kepada saya maka, sangat mendukacitakan apabila pasukan keselamatan yang sepatutnya menjaga keselamatan dan ketenteraman awam kini menjadi dalang dan pelaku kepada aktiviti jenayah. Apa sudah jadi dengan sistem keselamatan kita?,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, perairan Semporna sememangnya menjadi tumpuan dunia bukan sahaja untuk aktiviti pelancongan, malahan aktiviti pertanian.
Malah, kedudukan Semporna yang berdekatan dengan Filipina memerlukan kerajaan melalui Kementerian Pertahanan meletakkan aset-aset keselamatan di tempat-tempat tumpuan seperti ini.
Mohd Shafie berkata, aset-aset penting bagi menjaga keselamatan negara tidak seharusnya ditempatkan di lokasi yang jauh dan mengambil masa yang lama untuk sampai ke destinasi tumpuan, sekiranya berlaku kecemasan.
Jika dilihat setiap tahun, kerajaan memperuntukkan bajet berbilion ringgit bagi tujuan pertahanan dan juga keselamatan negara.
“Saya sedar dan tahu bahawa kos untuk membina, membeli serta memiliki aset-aset keselamatan ini mahal. Namun, kita perlu meletakkan aset-aset keselamatan ini di kawasan tumpuan dan kerap berlakunya pencerobohan dan juga rompakan.
“Justeru, saya harap Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri perlu mengambil serius perkara ini dan jangan kompromi apabila ia melibatkan keselamatan rakyat. Kedaulatan negara harus sentiasa dijaga dengan baik,” katanya. – Borneo Today